Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke suku akhir Kejohanan Dunia BWF 2021 di Huelva, Sepanyol awal hari ini.
Pemain nombor tujuh dunia Zii Jia menyingkirkan Hans-Kristian Vittinghus dari Denmark 21-15, 15-21, 21-10 selepas perlawanan selama 58 minit pada pusingan ketiga.
Penyandang juara All England itu akan menghadapi pertembungan hebat menentang seorang lagi pemain Denmark, Anders Antonsen yang juga pemain nombor tiga dunia, dalam memburu penampilan sulungnya dalam separuh akhir pada kejohanan dunia itu.
Pada Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland, Zii Jia tersingkir pada suku akhir, apabila tewas 12-21, 8-21 kepada bintang Jepun, Kento Momota.
“Saya gembira memperoleh kemenangan ke atas Vittinghus, seperti biasa ia perlawanan yang sangat sukar. Saya fikir secara mental dan fokus, saya tercicir pada perlawanan kedua tetapi cuba bangkit daripada set ketiga. Keadaan saya agak tidak baik...tetapi saya gembira dapat mara ke suku akhir.
“Antonsen adalah kawan baik saya, beliau pemain yang sangat bagus dan matang, persembahannya juga lebih stabil daripada saya. Jadi, perlawanan nanti akan sukar, saya perlu persiapkan diri,” katanya kepada media Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Soon Huat-Shevon menewaskan Yeung Ming Nok-Ng Tsz Yau dari Hong Kong 21-8, 19-21, 21-19 dalam satu lagi perlawanan pusingan ketiga, untuk berhadapan tugas berat menentang Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.
Terdahulu, dua beregu lelaki bebas - pemenang pingat perak Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Yew Sin-Teo Ee Yi - turut berjaya ke peringkat suku akhir.
- Bernama