Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pesuruhjaya Sukan kesal Persatuan Olahraga Selangor tidak ikut nasihat

Pesuruhjaya Sukan (PJS) Ibrahim Mohd Yusof meluahkan kekecewaannya terhadap Persatuan Olahraga Selangor (POS), yang tetap mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) semalam tanpa mengendahkan nasihatnya.

Ibrahim berkata tindakan POS tidak mematuhi persetujuan yang dicapai ketika pertemuannya dengan badan sukan negeri itu pada 8 Dis lepas bakal menyebabkan POS berdepan tindakan lebih tegas termasuk risiko diberikan notis, diikuti penggantungan sekiranya kemelut itu berpanjangan.

Namun, beliau menegaskan kesahihan AGM itu dan apa-apa tindakan susulan bakal diambil terhadap POS hanya dapat ditentukan selepas meneliti laporan yang perlu dihantar ke PJS dalam masa terdekat.

Ibrahim berkata beliau telah memberikan tiga opsyen kepada POS ketika pertemuan sebelum ini, dengan pilihan pertama iaitu untuk membetulkan dahulu struktur atau keanggotaan POS sebelum mengadakan AGM telah dipersetujui.

“Opsyen kedua, saya boleh keluarkan notis untuk melaksanakan pembetulan, sekiranya gagal, kita boleh ambil tindakan di bawah Seksyen 20 Akta Pembangunan Sukan 1997 untuk menggantung POS, dan ketiga kita boleh putuskan untuk terus gantung POS.

“Memandangkan mereka tidak mahu dengar nasihat, kita boleh pertimbangkan pilihan kedua dengan mengeluarkan notis untuk melakukan remedi atau pilihan lain, tetapi perlu meneliti laporan terlebih dahulu. Peluang kita dah bagi, tapi mereka seperti tidak mahu mendengar dan meneruskan juga AGM,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, beberapa ahli jawatankuasa POS mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 24 Okt lepas dan mengumumkan bahawa presidennya Datuk S.M. Muthu dipecat, serta menarik balik keahlian seumur hidupnya dengan mendakwa beliau melakukan penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap POS.

PJS bagaimanapun berkata, pemecatan itu tidak dibuat mengikut saluran betul kerana berdasarkan perlembagaan POS, tindakan menggantung atau memecat ahli yang memegang jawatan dalam persatuan itu tidak boleh dilakukan menerusi EGM.

Menurut laporan media, AGM POS semalam menyaksikan bekas atlet Wilayah Persekutuan, Norhayati Karim menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden POS namun ia tidak dihadiri oleh kem Muthu.

Norhayati adalah anak bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan penyelewangan dana POS terhadap Muthu, Ibrahim berkata pihaknya akan menunggu hingga siasatan polis selesai sebelum mempertimbangkan tindakan selanjutnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS