Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Jurulatih JDT sedia hadapi akibat susulan kekalahan

Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Benjamin Mora tidak menolak kemungkinan dia akan kehilangan jawatanya selepas Skuad Harimau Selatan itu tewas kepada Kuala Lumpur City (KL City) FC dalam saingan final Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, malam tadi.

Mora, 42, berkata keputusan mengenai masa depannya bersama skuad Harimau Selatan itu adalah di luar kawalannya.

Bagaimanapun, jurulatih dari Mexico itu yang pernah membawa Harimau Selatan memenangi beberapa kejuaraan termasuk Piala Malaysia 2019, sejak mengendalikan JDT buat kali kedua pada 2018, mengakui setakat ini hubungannya dengan pihak pengurusan dan pemain adalah sangat baik.

“Mungkin (kehilangan pekerjaan), tetapi saya bukan orang yang buat keputusan itu. Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pengurusan dan pemain. Saya sentiasa cuba untuk menang, saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan bekerja keras untuk JDT.

“Jika pihak pengurusan atau TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) berpendapat itulah penyelesaiannya, mereka akan maklumkan kepada saya, tetapi buat masa ini kami dalam keadaan sukar, kami okey, kami baik dan selepas ini kami akan mengkaji semula keadaan bila tiba masanya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Pada perlawanan final Piala Malaysia malam tadi, iaitu sempena sambutan ulang tahun ke-100 pertandingan berprestij itu, JDT terpaksa menerima kekalahan 0-2 di tangan KL City FC, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi Harimau Selatan itu pada 2019.

Gol KL City FC dijaringkan oleh pemain tengah Zhafri Yahya pada minit ke-66 dan Kapten Paulo Josue (minit ke-74) sekali gus mencipta kegemilangan buat skuad City Boys dan menamatkan penantian selama 32 tahun untuk menjulang Piala Malaysia yang diidam-idamkan selama ini.

Sementara itu, Mora mengakui meskipun mereka adalah pasukan pilihan, pemain JDT tidak terlalu yakin dan tidak memandang rendah terhadap kemampuan KL City FC dalam perlawanan penentuan malam tadi.

Dia berkata, walaupun keputusan itu tidak memihak kepada pasukannya, namun para pemain telah bermain dengan baik dan dia melihat kekalahan kepada KL City FC itu dari sudut positif bagi persiapan membina skuad yang lebih mantap pada masa hadapan.

"Tidak, saya tidak fikir mereka (pemain) terlalu yakin. Mereka sangat fokus dan memberi tumpuan serta mempunyai motivasi tinggi dan gol pertama adalah menerusi hantaran silang kerana kita tidak berhati-hati, ini boleh berlaku dan ia adalah situasi individu, tetapi tiada siapa dipersalahkan.

“...jadi kegagalan berlaku untuk kita berjaya. Jika kita tidak kalah, kita tidak merasai perasaan sedih seperti malam ini, mungkin sukar (untuk JDT) untuk berkembang, sukar untuk mengalami evolusi dan sukar untuk melihat bahawa kami perlu melakukan sesuatu untuk terus menguasai,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS