Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Senarai pemain Sabah FC diumum awal bulan depan - Kim Swee
Diterbitkan:  Nov 25, 2021 12:41 PM
Dikemaskini: 4:41 AM

Senarai penuh pemain Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Super 2022 hanya akan diumumkan secara rasmi pada awal bulan depan.

Ketua Jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee berkata pemain yang dipilih perlu mempunyai kriteria ditetapkan bagi membawa cabaran skuad The Rhinos.

Bekas pengendali Harimau Malaya itu berkata bagi memastikan Sabah FC mampu memberikan saingan dalam Liga Super musim depan pemain berkualiti seperti penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, perancang tengah berpengalaman Baddrol Bakhtiar dan pemain tengah Irfan Fazail perlu dibawa masuk, namun buat masa ini nama-nama yang dikaitkan dengan perpindahan ke Sabah FC itu hanya spekulasi di media sosial.

“Perbincangan perlu dilakukan dengan pengurusan pasukan terlebih dahulu terutamanya dari segi bajet pasukan untuk musim depan. Pada saya sudah tentu kami inginkan beberapa pemain yang mempunyai mutu permainan berkualiti tinggi untuk mencapai keputusan baik dalam saingan Liga Super 2022," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairul Fahmi yang kini bermain untuk Melaka United, Baddrol (Kedah Darul Aman FC), dan Irfan (Johor Darul Ta’zim II) merupakan pemain skuad Harimau Malaya dikendalikan Kim Swee yang mempertahankan pingat emas bola sepak pada pentas Sukan SEA 2011.

Kim Swee berkata pada masa ini juga Sabah FC telah mengenal pasti beberapa pemain tempatan untuk dicadangkan kontrak baharu musim depan berdasarkan kemampuan kewangan pasukan.

“Apa yang boleh kami kongsikan di sini….Sabah FC melakukan perancangan rapi untuk mengekalkan beberapa pemain utama yang sudah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sepanjang musim ini.

"Setiap tahun pasti semua kelab akan membeli, menjual atau mengekalkan para pemain mereka dan sama juga dengan pasukan Sabah sudah tentu ada pemain yang tidak akan disambung kontrak dan ada juga pemain yang akan disambung kontrak,” katanya

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS