Walaupun pahit untuk ditelan, demikianlah pandangan jujur bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh terhadap impak barisan pemain naturalisasi yang ‘dicanang’ mampu meningkatkan tahap permainan skuad Harimau Malaya.
“Dalam hidup ada kala kita kena mengaku kesilapan, jangan gadai negara semata-mata untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buktikan program naturalisasi ini adalah satu kejayaan. Jika ia tidak berjaya, terima kenyataan itu dan teruskan berusaha,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Serbegeth yang lebih dikenali sebagai Shebby memberi peringatan bakat-bakat muda sedia ada akan ‘rosak’ sekiranya FAM menumpukan terhadap pemain naturalisasi yang jelas tidak bersungguh-sungguh membawa lencana di dada ketika beraksi di atas padang.
Pemerhati bola sepak yang terkenal dengan kritikan pedasnya itu juga ternyata berang dengan kelibat penyerang naturalisasi negara kelahiran Brazil, Guilherme De Paula apabila menampilkan persembahan buruk dalam dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan, baru-baru ini.
“Dia (De Paula) benar-benar gagal...dia berusia 34 tahun dan bukannya dapat jadi lebih baik atau bertambah muda. Apa yang FAM tunggu lagi, nak dia skor hatrik lawan Indonesia, Kemboja atau Laos?
"Saya akan bertanding meskipun tanpa pemain naturalisasi termasuk pemain seperti Liridon Krasniqi (Kosovo) dan Mohamadou Sumareh (Gambia), kerana kita ada ramai bakat penyerang tempatan," katanya.
Sementara itu, bekas pertahanan Kuala Lumpur itu mencadangkan sudah tiba masanya barisan kejurulatihan diketuai Tan Cheng Hoe untuk merombak formasi 4-3-3 kepada 3-4-3 bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020 dijadual berlangsung di Singapura, Disember ini.
Katanya, rombakan formasi berkenaan dipercayai boleh mengukuhkan kubu pertahanan yang sering kali ‘bocor’ terutamanya menentang pasukan lebih tinggi ranking daripada Malaysia, yang menghuni tangga ke-154 dunia.
Malaysia bolos sembilan kali apabila mengalami kekalahan besar 0-4 kepada Jordan pada 6 Okt sebelum dibelasah 1-5 oleh Uzbekistan, Sabtu lepas.
Sehubungan itu, dia berkata barisan kejurulatihan seharusnya menerima hakikat bahawa gandingan dua pemain di bahagian pertahanan tidak dapat berfungsi dengan baik seperti diharapkan.
“Kita mempunyai masalah besar di bek tengah kerana memang tiada persefahaman dan keserasian di antara kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Muhammad Irfan Zakaria...kita pun pernah lihat Adam Nor Azlim serta Shahrul Mohd Saad sebelum ini, jadi saya berharap dapat melihat Dion-Johan Cools beraksi di Singapura nanti,” katanya.
Selain Dion, Serbegeth berkata dua lagi pemain Rodney Celvin Akwensivie dan D Kenny Pallraj berpotensi untuk mengisi kelompongan benteng pertahanan negara.
Katanya, Matthew Davies pula sebagai pertahanan kanan dan La'Vere Lawrence Corbin-Ong untuk posisi pertahanan kiri, dengan kedua-dua pemain boleh bertindak sebagai pemain sayap manakala gandingan Baddrol Bakhtiar dan Muhammad Akhram Mahinan di bahagian tengah Harimau Malaya.
Melengkapkan senarai akhir barisan utama skuad bayangannya adalah kombinasi jentera serangan iaitu Muhammad Safawi Rasid di sebelah kanan dan Mohamad Faisal Abdul Halim di sebelah kiri manakala Luqman Hakim Shamsudin yang bermain untuk kelab Belgium, KV Kortrijk, bertindak sebagai penggempur utama negara.
Dia juga memuji peranan Baddrol yang beraksi dengan baik pada perlawanan menentang Jordan dan Uzbekistan selain menyifatkan kehadiran pemain Kedah Darul Aman FC itu dalam pasukan amat penting dalam membimbing barisan pemain muda untuk menampilkan aksi terbaik mereka.
Selepas saingan Piala AFF 2020, skuad negara akan kembali menyambung misi memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 pada pusingan ketiga kelayakan kempen itu tahun depan.
-Bernama