Rehatlah sementara menunggu masa untuk 'tapau' bento, pesan Lee Chong Wei kepada skuad badminton negara yang layak ke separuh akhir Piala Sudirman malam tadi.
Nasihat itu disampaikan bekas pemain nombor satu dunia itu selepas pasukan Malaysia menundukkan Indonesia 3-2 dalam perlawanan mendebarkan dan berakhir awal pagi tadi.
"Tahniah team! Rehatlah! Sudah tapau ayam penyet, malam ini kita kasi tapau bento!" katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Malaysia berjaya melangkah ke pusinan separuh akhir dengan kemenangan beregu campuran ketika kedudukan terikat 2-2.
Mata pertama diperolehi pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengalahkan beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 21-12, 21-15.
Indonesia bagaimanapun menyamakan kedudukan 1-1 apabila pemain perseorangan wanitanya, Gregoria Mariska Tunjung, mengalahkan S Kisona 20-22, 21-18 dan 19-21 kepada.
Lee Zii Jia kemudian meletakkan negara kembali di depan dengan mengalahkan pemain di ranking kelima dunia, Anthony Ginting 21-11, 21-16.
Tak puas hati penjaga garisan
Indonesia sekali lagi menyamakan kedudukan hasil ketangkasan pemenang pingat emas beregu wanita Olimpik Tokyo, Greysia Polii-Apriyani Rahayu yang dipaksa bekerja keras sebelum dapat menjinakkan Pearly Tan-M Thinaah 22-20, 17-21, 18-21.
Namun skuad negara mengesahkan kejayaan melalui gandingan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See muncul yang menundukkan pasangan beregu campuran keempat dunia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-19, 9-21, 21-16.
Kejohanan dwitahunan itu kali ini diadakan di Vantaa, Finland.
Kata Chong Wei dia sendiri berdebar-debar menyaksikan siaran langsung perlawanan berkenaan.
Menurutnya tahniah harus diucapkan ekpada semua pemain negara yang mampu membawa Malaysia ke peringkat separuh akhir walaupun mereka berdepan dengan pasukan lawan yang berada pada ranking lebih tinggi.
Dia juga menjangkakan gandingan Pearly Tan-M Thinaah akan mampu melangkah lebih jauh berdasarkan persembahan mereka melayan juara Olimpik Tokyo itu.
Chong Wei juga menyatakan rasa kurang senangnya dengan prestasi ditunjukkan penjaga garisan dalam perlawanan malam tadi.
Secara bergurau, Chong Wei berkata jika keadaan berterusan begitu dia akan mendapatkan bantuan daripada "pemain kegemarannya" yang juga atlet Finland.
"Tolonglah improve woi. Kalau tak saya kasi call pemain favourite Finland saya, Teemu Pukki, minta tolong dia settle," katanya berseloroh.
Pukki merupakan pemain skuad bola sepak kebangsaan Finland yang kini bermain untuk kelab Norwich dalam Liga Perdana Inggeris.
Untuk peringkat separuh akhir, Malaysia akan berdepan dengan cabaran Jepun malam ini selepas skuad itu menumpaskan China Taipei 4-1.
Satu lagi perlawanan separuh akhir mempertemukan Korea Selatan dan China.