Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Worden janji minum air dalam kasut jika menang - Dollah Salleh
Diterbitkan:  Sep 21, 2021 3:12 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Selain memiliki profesionalisme tinggi, perwatakan garang dan kelakar menjadikan bekas pengendali skuad kebangsaan mendiang Ken Worden, seorang jurulatih yang mudah didekati dan disenangi barisan pemain.

Bekas penyerang berbisa negara Dollah Salleh yang dihubungi Bernama berkata beliau dan Worden pernah ‘berperang’ pada sesi latihan pagi skuad kebangsaan di Vietnam kerana jurulatih kelahiran Preston, England itu enggan menamatkan latihan sepakan percuma berulang kali terhadap salah seorang pemain negara ketika itu.

“Saya jadi marah dengan dia, saya tanya dia sampai bila coach nak berhenti buat benda (latihan) ni?. 

"Kami bergaduh dua orang,” kata Dollah sambil menjelaskan tindakannya itu kerana memikirkan pasukan akan turun beraksi pada sebelah petang hari yang sama.

Namun, sikap profesional Worden yang membimbing skuad negara dalam Kejohanan Jemputan Vietnam pada 1992 ketika itu terserlah, apabila kemudian memanggil Dollah untuk berbincang bersamanya mengenai perancangan pasukan, termasuk pembentukan kesebelasan utama skuad negara yang bakal beraksi.

“Ia antara satu kelebihan pada dirinya, walapun dia marah tapi kita tahu dia sebenarnya berlembut juga, nampak saja garang, kita boleh cakap dengan dia kalau kita setuju dengan dia dan dia bersikap profesional. Saya suka cara dia begitu,” kata Dollah.

Pada masa sama, Dollah berkata Worden bijak memainkan peranannya sebagai jurulatih dengan pandai mengambil hati barisan pemainnya.

Katanya, Worden yang turut pernah membimbing pasukan Selangor dan skuad kebangsaan Singapura, sering membuat ‘perjanjian’ pelik serta mengujakan kepada pemain sekiranya pasukan berjaya meraih kemenangan.

“Dia (Worden) selalu buat perjanjian pelik, satu kali itu di Indonesia dia janji kalau menang dia minum air dalam kasut dan dia buat. Macam-macam lagi dibuat,” jelas Dollah sebagai antara pemain paling rapat dengan Worden selain seorang lagi bekas pemain kebangsaan Zainal Abidin Hassan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan Worden meninggal dunia pada usia 78 tahun, semalam.

Menurut FAM, Worden berhijrah ke Malaysia pada 1991 untuk menjadi jurulatih Selangor yang muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia di bawah kendaliannya, sebelum dilantik sebagai jurulatih kebangsaan selama dua tahun bermula Januari 1992 sehingga penghujung 1993.

Dalam tempoh itu, pasukan kebangsaan menjuarai Kejohanan Jemputan Vietnam dan Piala Jakartaraya 1992 serta Pestabola Merdeka 1993.

Selepas itu, Worden terus menambah koleksi kejuaraannya di Malaysia apabila menjulang Piala Malaysia 1995, 1996 dan 2002 bersama pasukan Selangor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS