Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Kecuaian pengiring' punca Ziyad terlepas emas - Santokh Singh

Legenda bola sepak tanah air, Santokh Singh beranggapan kecuaian pegawai pengiring atlet paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli punca Malaysia hilang pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat atas insiden yang tidak bertanggungjawab ini.

"Dia menang gangsa di London 2012. Emas di Rio 2016. Bagaimana ada pihak boleh begitu cuai sehingga lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

"Kenyataan cuba memasuki bilik menunggu tepat pada waktu ditetapkan tidak boleh diterima. Sepatutnya, lebih awal sebelum waktu itu.

"Perlu ada tindakan tegas," kata Santokh kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian selepas Ziyad, 31, ditarik balik pingat emas disebabkan kesilapan teknikal iaitu lewat mendaftarkan di bilik menunggu.

Selasa lepas, Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod dunia baru.

Ziyad telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Santokh, 69 berkata pingat emas Ziyad 'dirompak' atas kecuaian.

"Ini bukan sekadar pingat emas dia dirompak. Malah, kerja keras selama empat tahun oleh Ziyad bersiap sedia untuk kejohanan paralimpik ini turut dirompak.

"Para pegawai perlu faham bahawa mereka ke sana bukan untuk 'lawatan percuma' ke negara luar atas cukai rakyat Malaysia. Tapi, membawa misi dan harapan 32 juta rakyat Malaysia.

"Ada pihak perlu mengambil tanggungjawab dan dikenakan tindakan supaya perkara ini tidak berulang lagi pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Santokh juga meminta KBS agar memberi ganjaran kepada Ziyad.

"Walaupun, pingat emas ditarik balik, Ziyad telah membuktikan bahawa dia juara dunia serta pecah rekod dunia miliknya.

"Ia perlu diiktiraf dengan memberi ganjaran sewajarnya," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencadangkan kepada Kabinet mengenai ganjaran setimpal kepada jaguh lontar peluru paralimpik kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli bagi menghargai pencapaiannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata insiden pembatalan pingat emas tidak pernah dijangka malah tidak pernah difikirkan ketika dasar pemberian ganjaran kepada atlet yang meraih kejayaan di temasya sukan dibuat.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS