Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Ganjaran buat Ziyad: KBS akan kemuka cadangan pada Kabinet

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencadangkan kepada Kabinet mengenai ganjaran setimpal kepada jaguh lontar peluru paralimpik kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli bagi menghargai pencapaiannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata insiden pembatalan pingat emas tidak pernah dijangka malah tidak pernah difikirkan ketika dasar pemberian ganjaran kepada atlet yang meraih kejayaan di temasya sukan dibuat.

“Tidak kita terfikir perkara itu akan berlaku bagaimana caranya untuk kita memberi ganjaran kepada kes seumpama itu. Kes ini agak terpencil, macam masalah pandemik Covid-19 yang pada awalnya tiada negara yang tahu apa nak buat, begitu juga dengan kes Muhammad Ziyad.

“Jadi saya ingin cadangkan kepada Kabinet kemungkinan kita perlu melihat perkara ini kerana ia agak asing dan tidak pernah berlaku,” katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Nota Serah Tugas Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS di Putrajaya, hari ini.

Selasa lepas, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad, 31, dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod dunia baru.

Dia telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Ahmad Faizal Azumu

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Insiden itu menyaksikan Muhammad Ziyad terlepas ganjaran berjumlah RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Sebelum ini media melaporkan gesaan beberapa pihak berhubung pemberian ganjaran SHAKAM kepada Muhammad Ziyad sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan pencapaian beliau di Tokyo.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata dia bersama barisan Kabinet mempunyai tanggungjawab kepada kementerian masing-masing dan juga setiap perbelanjaan yang dikeluarkan.

“Perbelanjaan oleh kementerian iaitu kerajaan adalah duit rakyat dan kita perlu bertanggungjawab terhadap apa yang kami belanjakan,” katanya.

Dalam pada itu, mantan Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican optimis cadangan itu akan disambut baik Kabinet yang turut dibarisi beberapa bekas menteri KBS antaranya Annuar Musa, Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS