Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Pecah rekod dunia, tapi emas Ziyad batal
Diterbitkan:  Aug 31, 2021 9:19 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Meskipun unggul di gelanggang Paralimpik Tokyo dengan memecahkan rekod dunia acara lontar peluru kategori F20 (masalah pembelajaran), kemenangan Muhammad Ziyad Zolkefli yang meraih pingat emas acara itu dibatalkan.

Ia dilaporkan disebabkan protes daripada Ukraine - yang meraih tempat kedua dan ketiga - kerana isu kelewatan masuk ke “call room” (bilik menunggu) sebelum pertandingan bermula.

Menurut Twitter rasmi jawatankuasa penganjur Olimpik dan Paralimpik Tokyo, Tokyo2020, pingat emas diberikan kepada atlet dari Ukraine, Maksym Koval.

Warganet yang sebelum itu mengucapkan tahniah buat kejayaan Ziyad, meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial apabila mendapat tahu berita pembatalan pingat emas atlet berkenaan.

“Tak kisah kalah kerana berlaku pelanggaran peraturan yang jelas. Tetapi bukan DNS (tidak bermula) kerana kecuaian pegawai acara yang bahkan membenarkan pertandingan bermula. Tak adil buat atlet,” kata salah seorang pengguna di Twitter.

“Dunia tahu Ziyad pecahkan rekod dunia hari ini. Sajalah nak bagitahu,” ciap seorang lagi pengguna Twitter.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Faizal Azumu berkata di Facebook, hal itu masih dalam perbincangan kerana tiga negara yang terkesan dengan protes Ukraine - termasuk Malaysia - membuat protes balas.

“Update Tokyo - Masih dalam perbincangan antara perwakilan tekninal dengan tiga negara yang protes balas Ukraine iaitu Malaysia, Australia dan Ecuador.

“Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan bersama CDM (chief de mission) berada di lapangan. Protes Ukraine terhadap tiga negara amat lemah. Ketiga-tiga negara sedang protes. Doakan.”

Ziyad mencatat rekod baru dunia pada balingan 17.94 meter, memadamkan rekod yang juga dipegangnya sebelum ini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS