Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Taufik dedah cubaan pengaruhi perlawanan, Chong Wei enggan 'malukan' sesiapa
Diterbitkan:  Aug 24, 2021 11:19 AM
Dikemaskini: 3:32 AM

Dunia badminton dikejutkan dengan dakwaan cubaan mempengaruhi perlawanan dengan bayaran wang pada Sukan Asia Doha 2006 antara Lee Chong Wei dari Malaysia dan Taufik Hidayat dari Indonesia.

Ia bermula dengan pendedahan Taufik dalam wawancara stesen TV Indonesian baru-baru ini.

Taufik mendakwa bahawa dia ditawarkan 400 juta rupiah (RM117,000), oleh seorang pegawai pasukan Malaysia untuk kalah dalam pertandingan separuh akhir Sukan Asia Doha 2006 itu.

Jumlah itu merupakan dua kali ganda hadiah yang dijanjikan kerajaan Indonesia sekiranya dia menang pertandingan berkenaan.

Chong Wei, yang terkejut dengan pendedahan itu, dilapor akhbar tempatan New Straits Times semalam sebagai berkata bahawa dia lantas menghubungi Taufik mengenai perkara itu.

"Sejujurnya, saya tidak tahu mengenai perkara ini. Saya terkejut ketika orang mula menghubungi saya hari ini.

"Taufik adalah kawan saya, jadi saya segera menghubungi dia. Dia memberitahu saya apa yang telah berlaku.

"Syukurlah bagi orang-orang seperti Taufik dan saya, maruah negara sentiasa diutamakan," kata Chong Wei.

Chong Wei mengatakan bahawa dia tidak berhasrat menamakan dan memalukan individu yang didakwa cuba mempengaruhi perlawanan  antara dia dan Taufik itu.

"Saya percaya kita semua harus ke hadapan. Saya tidak mahu menamakan atau memalukan sesiapa," katanya.

Pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu mengakui bahawa dia juga pernah didatangi oleh individu yang ingin mempengaruhi perlawanan pada masa lalu, tetapi mengatakan bahawa dia tidak pernah terlibat.

Seperti Chong Wei, Taufik juga tidak mendedahkan identiti individu itu.

NST, dalam laporannya, menyorot bahawa pegawai itu dipercayai bekas pemain pasukan kebangsaan.

Percubaan untuk mempengaruhi perlawanan gagal dan Taufik merangkul pingat emas pada Sukan Asia Doha 2006 setelah mengalahkan Chong Wei di separuh akhir dan Lin Dan dari China di peringkat akhir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS