Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia mengimpikan untuk mengungguli Kejuaraan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2021 yang dijadual berlangsung di Sepanyol, Disember depan.
Zii Jia yang baharu pulang ke tanah air selepas tersingkir dari Sukan Olimpik Tokyo menarik perhatian akan berasa bangga sekiranya berjaya menakluki bumi Sepanyol itu seterusnya mencipta sejarah menjadi pemain pertama Malaysia muncul juara dalam pertandingan berkenaan.
“Pastinya semua (pemain) sasar Kejuaraan Dunia kerana ia adalah salah satu kejohanan terbesar. Ia suatu penghormatan kepada saya jika menjadi juara dunia,” katanya dalam sidang media secara maya, semalam.
Zii Jia terlepas peluang untuk mara ke suku akhir Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini selepas tewas kepada pemenang pingat emas Rio 2016, Chen Long dari China, 21-8, 19-21, 5-21 dalam pusingan 16 terbaik di Musashino Forest Sport Plaza.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, pemain berusia 23 tahun itu memaklumkan tidak akan mengambil cuti rehat sebaliknya akan menyambung latihan selepas tempoh kuarantinnya tamat untuk memberi tumpuan mengharungi beberapa kejohanan besar lain termasuk Piala Sudirman di Finland bulan depan dan Piala Thomas di Denmark, Oktober ini.
Mengenai prestasi keseluruhannya di Sukan Olimpik Tokyo, pemain kelapan terbaik dunia itu mengakui tidak berpuas hati dengan persembahannya di gelanggang sepanjang saingan temasya sukan terbesar dunia itu berlangsung.
Beliau berkata banyak pengalaman berharga telah diperolehnya ketika beraksi buat kali pertama di pentas Olimpik di Jepun itu terutamanya cara menyerap tekanan dengan sebaiknya sewaktu berdepan musuh di gelanggang.
Pemain kelahiran Kedah itu memberi contoh, Chen Long berjaya menggunakan pengalaman yang ada beraksi di Sukan Olimpik sebelum ini untuk menyekat kemaraan ke peringkat suku akhir apabila kembali bangkit dan mudah menjinakkannya pada dua set terakhir selepas pemain China itu tersungkur pada set pertama.
“Chen Long menang kerana beliau mempunyai pengalaman luas untuk mengatasi tekanan lebih-lebih lagi dalam set kedua dan ketiga di mana beliau nampak tenang selain bertambah yakin lalu mengakibatkan saya menjadi panik…memang banyak lagi yang perlu diperbaiki selepas ini,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui gusar selepas melihat Zii Jia memberikan segala-galanya pada set pertama sehingga memberi ruang kepada Chen Long untuk membalas dendam kekalahan awalnya itu dan terus menguasai permainan dalam dua set berikutnya.
Sehubungan itu, jurulatih kelahiran Indonesia itu berharap Zii Jia dapat belajar daripada pengalaman di Tokyo dan percaya anak buahnya mampu bangkit pada kejohanan akan datang.
Sementara itu beliau menasihatkan Zii Jia agar terus ‘berperang’ dengan dirinya sendiri dan memaklumkan pemain itu memerlukan lebih waktu untuk mencapai tahap kematangan selain merancang memantapkan lagi tahap teknikal dan kecergasan Zii Jia di dalam sesi latihan selepas ini.
-Bernama