Setelah beberapa siri perbincangan sebelum ini, Kejohanan Sukan SEA ke-31, yang dijadualkan berlangsung pada 21 Nov hingga 2 Dis depan di Hanoi, akhirnya akan ditunda ke tahun hadapan berikutan pandemik Covid-19.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan memaklumkan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memutuskan demikian dalam mesyuarat secara maya yang diadakan hari ini, selepas dua kali menolak cadangan penangguhan kejohanan itu, sebelum ini.
Majlis SEAGF akan menentukan tarikh baharu kejohanan itu kelak.
“Anggota SEAGF memuji usaha yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Olimpik Vietnam (VOC) setakat ini, namun mereka memandang serius mengenai situasi semasa pandemik Covid-19 di rantau Asia Tenggara,” demikian menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, media melaporkan VOC mencadangkan agar temasya itu ditunda ke Mac atau Jun tahun hadapan berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 di Vietnam serta negara-negara lain di rantau ini, yang turut menjejaskan persiapan tuan rumah itu.
Vietnam, yang akan menganjurkan kejohanan Sukan SEA buat kali kedua selepas edisi 2003, telah menyenaraikan sebanyak 520 acara daripada 40 sukan bagi edisi kali ini.
Keputusan penangguhan itu bakal menyaksikan jadual sukan yang padat bagi kalendar 2022 termasuk Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dari 4 hingga 20 Feb, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 Sept).
Sebelum ini, Malaysia adalah antara lapan negara yang menolak cadangan penangguhan Sukan SEA Hanoi ke tahun hadapan atas sebab-sebab tertentu.
Presiden MOM, Mohamad Norza Zakaria, yang mewakili Malaysia dalam pertemuan itu, pula mencadangkan agar kejohanan tersebut diadakan pada akhir April atau awal Mei 2022 memandangkan pihak penganjur masih gagal mencari resolusi yang meyakinkan.
“Saya mencadangkan supaya undian dibuat bagi penangguhan Sukan SEA 2021, yang mana 10 negara menyokong cadangan itu manakala satu negara iaitu Vietnam kekal berkecuali.
“Keputusan tersebut sememangnya sebulat suara,” katanya dalam sidang media secara maya selepas menghadiri mesyuarat dalam talian bersama barisan jurulatih dan pengurus pasukan yang terlibat dengan Olimpik Tokyo.
Seramai 30 atlet daripada 10 sukan akan bertanding dalam temasya itu di Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
-Bernama