Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Enam pemain akademi badminton BAM positif Covid-19
Diterbitkan:  Apr 17, 2021 3:50 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan enam pemain mereka di Akademi Badminton Malaysia (ABM) positif Covid-19.

Menurut kenyataan BAM kesemua pemain tersebut - yang tidak mempamerkan sebarang gejala - kini menjalani kuarantin kendiri.

“Selepas berunding dengan Kementerian Kesihatan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara, kesemua 91 atlet, jurulatih dan pegawai di ABM di Bukit Kiara menjalani ujian saringan, namun kesemuanya negatif,” kata BAM.

Proses sanitasi menyeluruh juga telah dijalankan di ABM pada Jumaat dan latihan berkonsepkan kuarantin tersebut akan diadakan semula di Pusat Kecemerlangan Badminton Negara.

Semua aktiviti sekolah pula akan dijalankan secara dalam talian untuk tempoh beberapa hari akan datang.

“Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kesemua mereka yang berada di ABM merupakan keutamaan kami dan kami berharap enam atlet terbabit akan pulih secepat mungkin,” kata BAM.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengarahkan MSN, ISN dan BAM supaya mengambil tindakan segera mengikut arahan dan prosedur Kementerian Kesihatan demi keselamatan atlet, jurulatih dan pegawai.

“Saya telah dimaklumkan mengenai kes jangkitan COVID-19 di ABM. Keselamatan atlet, jurulatih dan pegawai sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam laman Twitter hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS