Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Cheng Hoe lega jadual Liga-M 2021 dipinda
Diterbitkan:  Apr 7, 2021 8:09 PM
Dikemaskini: 12:09 PM

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe, boleh menarik nafas lega selepas jadual terbaru saingan Liga-M 2021 dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Kata Cheng Hoe dia sangat gembira dan berterima kasih kepada MFL yang mempertimbangkan permohonan pihaknya untuk meminda kalendar Liga-M 2021 bagi memastikan skuad Harimau Malaya mendapat lebih ruang bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun ini.

"Terima kasih juga kepada pasukan atau kelab kerana memahami dan memberi kerjasama untuk pindaan jadual liga ini dan ia sudah tentu memberikan lebih masa kepada skuad Harimau Malaya menjalani kem latihan pusat bagi persiapan menghadapi tiga perlawanan kelayakan yang cukup penting ini.

"Semua tahu pencabar lain seperti UAE, Vietnam dan Thailand melakukan persiapan cukup rapi, dan ada antara mereka menghentikan saingan liga domestik bagi memberi lebih ruang kepada persiapan pasukan kebangsaan mereka,” katanya dalam satu hantaran dimuat naik di laman Facebook FAM hari ini.

Berdasarkan jadual dikeluarkan itu, perlawanan ke-11 dan ke-12 Liga Super dan Liga Premier 2021 yang sepatutnya berlangsung selepas 1 Syawal antara 18 hingga 23 Mei diawalkan ke bulan ini.

Perubahan itu menjadikan lima hari perlawanan Liga Super 2021 dan empat hari perlawanan Liga Premier 2021 akan berlangsung sepanjang Ramadan.

Sementara itu, bekas jurulatih Kedah itu mahu barisan pemain negara menggalas tanggungjawab dan menyahut cabaran diberikan ketika beraksi di UAE nanti selain mengharapkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terus diberikan penyokong kepada skuad kebangsaan.

Kata Cheng Hoe sokongan positif diberikan penyokong sudah tentu akan membantu Harimau Malaya mencapai keputusan yang baik.

Pindaan jadual liga terbaru itu menyaksikan skuad Harimau Malaya dapat mula berkumpul bagi kem latihan pusat bermula 16 Mei, seminggu lebih awal berbanding jadual asal.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan beraksi dalam dua perlawanan pemanas badan sebelum bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun), untuk baki saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, dengan ketiga-tiganya berlangsung di UAE.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS