Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedang menimbang kemungkinan membeli saham dengan mana-mana kelab elit di liga Eropah pada masa akan datang.
Tunku Ismail berkata pada masa ini baginda masih meneliti dan mengkaji daripada pelbagai aspek sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pembelian itu.
Menurut Tunku Ismail, baginda berminat untuk membeli saham dengan mana-mana kelab ternama di Eropah walaupun dengan jumlah yang kecil, dengan perancangan untuk mengukuhkan pegangan di masa akan datang.
Antara kelab Eropah yang dikaitkan untuk pemilikan saham itu adalah Valencia yang beraksi dalam La Liga Sepanyol, AC Milan (Serie A Itali) dan Manchester United (Liga Perdana Inggeris).
"Saya terbuka untuk memiliki saham dengan mana-mana pasukan elit di Eropah disebabkan saya memang berminat untuk menjadi pemegang saham kelab ternama sejak dahulu lagi. Pada saya, memiliki pegangan saham yang kecil secara tidak langsung memberi manfaat kepada saya sebagai pemilik kelab serta memberi nilai tambah kepada JDT.
"Minat ini sudah lama, tapi sudah tentu sebelum membuat sebarang pelaburan, saya perlu membuat penilaian yang mendalam, manakah yang sesuai atau tidak selain mempertimbangkan pro dan kontra mengenainya," kata Tunku Ismail pada sidang media di ibu pejabat JDT, di Iskandar Puteri hari ini.
Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Johor itu berkata hasrat dan minat untuk membeli saham dengan pasukan Manchester United dinyatakan setelah mendapat tahu ada peluang pemilikan saham tidak sampai lima peratus untuk kelab gergasi berkenaan.
"Kelab tersohor seperti Manchester United mengambil masa berdekad untuk nilai komersial kelab itu untuk menurun, daripada aspek ‘sustainability’, mereka cukup hebat.
"Sebab itu, saya akan mengadakan mesyuarat dengan pihak mereka sebelum membuat apa-apa keputusan. Selain itu, kita juga akan menilai mana-mana tawaran lain yang menarik atau peluang yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.
Mengenai status pembelian pasukan Valencia, Tunku Ismail berkata pintu perbincangan mengenai perkara itu masih terbuka, namun ada beberapa perkara yang harus kelab itu uruskan terlebih dahulu.
"Saya tidak berminat untuk membuat pelaburan bersama kelab yang banyak isu berpanjangan yang belum diselesaikan. Apabila keadaan pandemik bertambah baik, saya akan kembali mẹmbuat lawatan ke kelab Eropah ini untuk membuat perbincangan secara bersemuka," katanya.
-Bernama