Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) sekali lagi berhadapan isu tuntutan gaji membabitkan lima bekas pemain The Red Warriors (TRW), musim lalu.
Penasihat Undang-Undang Kelantan FC Shairuz Sheffie berkata, pihaknya telah menerima surat daripada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mewakili kesemua pemain itu, berhubung tuntutan tunggakan gaji November 2020.
“Pihak kami telah pun berunding dengan pemain dalam menyelesaikan perkara itu sebelum ini, termasuklah menelefon, menulis surat serta membuat mereka supaya menerima pengurangan gaji.
“Ini kerana pihak pengurusan TRW yang baru sudah menyelesaikan tunggakan hutang pemain sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan media yang dimuat naik melalui laman Facebook Kelantan FC hari ini.
Mendahului senarai lima bekas pemain terlibat adalah pemain import dari Jepun, Masaki Watanabe yang merekodkan tuntutan RM91,857 melibatkan tunggakan sejak April, manakala Muhammad Shahrul Nizam Ros Hani (RM20,000), Mohd Nazrin Mohd Nawi (RM19,000), Mohd Farisham Ismail (RM15,000) dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (RM13,000) melibatkan tuntutan gaji November tahun lalu.
Shairuz berkata pengurusan Kelantan FC ketika ini berhadapan dengan ketiadaan pendapatan, disebabkan oleh pandemik Covid-19 berikutan tiada penonton dibenarkan memasuki ke stadium.
“Perlawanan terakhir pasukan Kelantan FC bagi bulan November adalah sekali sahaja iaitu 8 Nov dan adalah tidak adil tuntuan itu bagi pemain lain yang sudah bersetuju dengan bayaran separuh gaji, untuk bulan berkenaan.
“Sekalipun pihak pengurusan perlu mematuhi terma yang terkandung di dalam kontrak, namun mereka terkilan apabila pemain mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira situasi semasa, di mana kelab tidak boleh menjana pendapatan,” katanya.
Shairuz berkata sekiranya pemain berkeras dengan tuntutan itu, pihak pengurusan akan meneliti dari segi perundangan sebelum membayar tuntutan itu.
“Pengurusan baru akan membayar apa yang perlu jika mereka ini tetap berkeras, termasuk meneliti hak pengurusan dari segi perundangan di bawah Covid-19,” katanya.
- Bernama