Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kekal dengan keputusan menggunakan logo baharu Perak FC untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini meskipun menerima kritikan daripada penyokong The Bos Gaurus.

Naib Presidennya, Muhammad Yadzan Mohammad berkata keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan yang dicapai sebelum ini oleh kepimpinan tertinggi Perak FC.

"Kita akui penyokong ada hak untuk mengeluarkan apa jua pandangan, kritikan dan cadangan tentang logo itu. Kita terima dengan hati yang terbuka.

"Cuma apa yang saya boleh maklumkan keputusan untuk menggunakan logo itu kekal setakat ini. Ini bukan kehendak saya tetapi ia telah dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi yang menerajui persatuan sebelum ini," katanya.

Pada 30 Jan lepas, Perak FC telah memperkenalkan logo baharu itu menerusi Instagram 'peraktbgmy' dengan mengetengahkan konsep 'a new chapter begins, but the history remains'.

Logo itu menunjukkan imej seekor seladang putih di atas lapisan hitam dengan bingkai berwarna kuning dan ramai mempertikaikan rekaan itu yang dianggap tidak kreatif.

Mengulas perubahan atau penambahbaikan terhadap logo itu, Muhammad Yadzan berkata perkara tersebut akan dibincangkan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

"Kita akan pertimbangkan perkara ini cuma saya minta para penyokong bersabar sebab kita ada perkara yang lebih penting untuk diselesaikan terlebih dahulu terutama membabitkan proses penswastaan dan pemisahan antara kelab bola sepak (FC) dan persatuan bola sepak (FA)," katanya.

Ditanya mengenai gaji pemain Perak yang dikatakan tertunggak sejak November tahun lepas, Muhammad Yadzan berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan pimpinan kerajaan negeri pada minggu lepas, bagi menyelesaikan permasalahan itu daripada terus berlarutan.

"Kita yakin kerajaan negeri akan bantu dalam perkara ini dan setakat ini juga semua pemain memahami situasi yang berlaku dan bagi saya sendiri, saya harap mereka bersabar dan pasti kita akan selesaikan sebelum sepak mula liga," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS