Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Negeri Sembilan FC sahkan ikat tiga pemain import dari Brazil dan Cameroon

Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) sah mengikat tiga lagi pemain import dari Brazil dan Cameroon, sekali gus melengkapkan kuota pemain import pasukan bagi menghadapi saingan Liga Premier musim ini, kata ketua jurulatih K. Devan.

“Daripada tiga orang itu, dua pemain import masih dalam proses kuarantin di sini dan seorang lagi masih di luar negara dan akan sampai di Malaysia 15 Jan ini.

“Ketiga-tiga pemain ini ialah dua pemain dari Brazil iaitu seorang pemain pertahanan yang ada pengalaman bermain di Kuwait dan Oman, serta seorang lagi di barisan penyerang dan pernah beraksi di Indonesia pada 2019 dan 2020, selain pemain bawah 23 tahun dari Cameroon yang bermain di posisi penyerang.

“Kita telah mula latihan sejak 4 Jan lepas dengan kehadiran pemain tempatan. Seorang lagi pemain import dari Korea Selatan yang menyertai pasukan musim ini juga, telah menyertai latihan selepas tamat tempoh kuarantin sebaik tiba di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pengumuman Penaja Pakaian Musim 2021 dan Pengumuman Pemenang Reka Cipta Logo NSFC, di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Mengulas lanjut, Devan yang kembali membimbing buat kali ketiga skuad Negeri Sembilan selepas kali terakhir pada musim 2015 berkata, bagi mencari persefahaman pemain dan memantapkan pasukan, NSFC tela mengatur beberapa sesi perlawanan persahabatan, membabitkan pertemuan dengan pasukan ATM, Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak II.

Penyerang kebangsaan Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, yang dilantik sebagai ketua pasukan selepas kembali menyarung jersi NSFC musim ini, menyifatkan kepercayaan yang diberikan sebagai ketua pasukan adalah tanggungjawab yang berat, tetapi tidak akan disia-siakannya.

“Saya harap dapat memberi impak positif kepada pasukan dan untuk kembalikan kegemilangan Negeri Sembilan, ia bukan satu perkara yang mudah. Saya berharap mendapat bantuan rakan-rakan yang lain untuk kita bersama-sama kembalikan kegemilangan itu,” katanya, yang bermain untuk Kedah musim lepas.

Terdahulu pada majlis itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri mengumumkan Azral Ramlay, 44, sebagai pemenang pertandingan reka cipta logo NSFC selepas mendapat 4,500 ‘Like’ di laman Facebook rasmi PBNS, sejak Disember tahun lepas.

Pada majlis berkenaan turut diumumkan penajaan kepada NSFC, Piala Presiden, Piala Belia, Sekolah Sukan Negeri dan NS Soccer Academy oleh pengeluar pakaian sukan tempatan Kaki Jersi, berjumlah RM500,000.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kaki Jersi Sdn Bhd Harfat Rusman.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS