Selepas pembatalan kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021, situasi sama mungkin terjadi kepada penganjuran Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 yang dijadual berlangsung di Uzbekistan, Mac tahun hadapan.
Kebimbangan itu disuarakan pengurus pasukan B-19 negara Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang memberi bayangan AFC akan menuruti jejak langkah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan rintangan dihadapi dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19 ketika ini.
"...Saya hormati sekiranya ia terpaksa dibatalkan. Pada masa sama saya mengharapkan badan induk bola sepak bertanggungjawab mengambil langkah serta pendekatan terkini supaya barisan pemain muda yang berpotensi untuk menyinar tidak akan dihampakan pada masa hadapan," katanya kepada Bernama hari ini.
Sekiranya skuad B-19 negara terpaksa mengharungi 2021 tanpa kejohanan utama, Kamarul Ariffin berpendapat satu mekanisme baharu untuk menjamin kelestarian pembangunan pemain perlu diwujudkan bagi mengelakkan daripada berlakunya pembaziran bakat berskala besar.
Menurut beliau, kemampuan barisan pemain skuad B-19 negara berada pada tahap mengagumkan selain memiliki potensi untuk menyerlah di peringkat tertinggi, termasuk melakar sejarah melayakkan diri secara merit ke kejohanan Piala Dunia B-20.
"Saya memandang serius perkara ini kerana kebarangkalian bakat muda akan dilahirkan melalui dua kejohanan ini amat tinggi dan dalam era bola sepak moden, perkembangan di peringkat B-19 amat penting untuk menganggotai skuad utama (senior) satu hari nanti.
"Mereka ini adalah kelompok pemain yang akan ‘meletup’ pada bila-bila masa dan dalam kelompok ini juga akan lahir segelintir bakat dikagumi di peringkat dunia. Jadi, pembatalan ini memberi kesan besar kepada perkembangan pemain-pemain peringkat bawah umur," jelas beliau.
Atas faktor had umur, Kamarul Ariffin berkata barisan pemain skuad B-19 negara sedia ada tidak akan mewakili pasukan itu dalam misi melayakkan diri ke Kejuaraan B-19 AFC serta Piala Dunia B-20 pada masa hadapan.
Menyedari akan keajaiban yang mampu dicipta barisan pemain skuad B-19 negara, beliau berharap pembangunan kelompok pemain pasukan itu dipantau rapi untuk dibentuk bagi membawa cabaran negara dalam pemburuan tempat di temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.
"Kelompok pemain ini telah mencapai kejayaan membanggakan sejak dua tahun lepas, antaranya layak secara merit ke Kejuaraan B-19 AFC selaku juara kumpulan pusingan kelayakan serta muncul naib juara Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
"Skuad ini antara yang terbaik di peringkat Asia Tenggara mahupun Asia, skuad ini mampu pergi lebih jauh sehingga beraksi di temasya Sukan Olimpik dan saya mengharapkan skuad ini dapat dibentuk untuk ke Olimpik 2024 di Paris," tambah beliau.
Selepas mencatat rekod bersih tanpa kalah dalam empat aksi saingan kumpulan pusingan kelayakan kejuaraan itu pada November 2019, skuad B-19 negara kendalian Brad Maloney telah diundi bersama juara edisi 2014 Qatar, Tajikistan dan Yemen dalam Kumpulan D pada pertandingan dwitahunan itu.
Bernama difahamkan AFC kini sedang meneliti maklumat daripada semua pasukan terlibat termasuk mengambil kira persiapan telah dilakukan tuan rumah sebelum jawatankuasa pertandingannya memutuskan mengenai status kejuaraan itu dalam masa terdekat.
Kejuaraan B-19 AFC menjadi platform kelayakan kepada pasukan di rantau Asia untuk memburu kedudukan empat pasukan terbaik kejuaraan itu untuk mendapat slot automatik ke Piala Dunia B-20.
- Bernama