Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kelantan naik taraf Stadium Sultan Muhammad IV awal 2021

Kerajaan Kelantan dijangka memulakan kerja-kerja menaik taraf Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada awal tahun depan sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-22 pada 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata kesemua kerja menaik taraf itu membabitkan kos lebih RM7 juta yang disalurkan melalui Kementerian Belia dan Sukan.

“Kementerian meluluskan peruntukan awal sebanyak RM5 juta tetapi setelah membuat penelitian kami memerlukan tambahan sebanyak RM2.5 juta lagi yang kami jangka akan diluluskan.

“Antara yang dinaik taraf ialah penukaran keseluruhan lampu limpah, penambahan astaka dan juga tempat duduk penonton yang lebih selesa,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Perbadanan Stadium Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Ahmad Yakob di Kota Bharu hari ini.

Stadium Sultan Muhammad ke-IV yang terletak di tengah Kota Bharu dibina pada 1967 membabitkan kos RM1.5 juta dan boleh memuatkan 30,000 penonton.

Wan Roslan berkata stadium juga akan dicat baharu selain membaik pulih beberapa lagi prasarana sedia ada.

Dalam pada itu, mengenai persiapan menghadapi Sukma ke-22, Wan Roslan berkata satu stadium akan dibina di Bukit Merbau, Pasir Puteh yang dijangka menjadi lokasi utama temasya sukan berkenaan.

“Selain tumpuan sukan di Bukit Merbau, acara renang akan dijalankan di Kota Bharu dan velodrom sukan berbasikal di Jeli,” katanya.

Menurut Wan Roslan semua kompleks sukan dibina bertaraf antarabangsa dan pihaknya juga melawat Stadium Sultan Ibrahim di Johor yang dijadikan penanda aras pembinaan stadium di Bukit Merbau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS