Selepas menjadi buah mulut orang ramai dan bertukar sebagai bahan hasut mata, nama di sebalik sebuah stadium mini di Kuala Nerang dijelaskan hari ini.
Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor, berkata nama itu bukanlah membawa maksud nama dirinya seperti didakwa banyak pihak sebaliknya ada makna tersirat.
Sebaliknya kata Hakim Ariff nama Ffira Mikah yang disandarkan kepada stadium mini itu merupakan gabungan perkataan Sepanyol atau Greek serta Arab.
Menurut Hakim Ariff lagi Ffira bermaksud sesuatu yang hebat jika menggunakan bahasa Sepanyol atau Greek, manakala Mikah merujuk kepada malaikat dalam bahasa Arab.
"Tiada kena-mengena dengan nama saya. Nama stadium mini ini mempunyai maksud tersirat. Nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.
"Dalam bahasa Sepanyol atau Greek, Ffira bermaksud sesuatu yang hebat, manakala Mikah dalam bahasa Arab sempena nama malaikat," katanya dipetik Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, penjenamaan stadium itu menjadi tular di media sosial dengan dakwaan nama tersebut diambil sempena nama Hakim Ariff yang diterbalikkan ejaannya.
Terima seadanya nama baru
Untuk rekod dakwaan Hakim Ariff itu tidak dapat disahkan berdasarkan semakan silang bahasa dibuat Malaysiakini.
Tambah Hakim Ariff selepas penambahbaikan dan penjenamaan semula stadium berkenaan, pihaknya mahu menyuntik semangat baru dengan pemilihan nama unik bagi menarik perhatian ramai.
"Saya bukan nak kejar glamor. Hasrat saya mahu Padang Terap nampak lebih bersih, cantik dan ceria.
"Saya tak mahu daerah ini kekal macam dahulu, mereka tak tahu cerita sebenar dan buat andaian begitu," katanya yang turut merasmikan penjenamaan semula stadium tersebut baru-baru ini.
Sementara itu Kelab Bola Sepak KN Kiara yang diberi kepercayaan untuk mengurus dan menyelenggara stadium tersebut memaklumkan, papan tanda Mini Stadium Ffira Mikah sudah digugurkan.
Dalam kenyataan di Faceebok, kelab itu berkata mereka memutuskan untuk tidak menggunakan nama Frifa Mikah untuk apa-apa tujuan dan promosi.
"Buat sementara pihak kami menyebut sebagai Stadium Mini Kuala Nerang sehingga mendapat makluman terkini dari pihak berkuasa tempatan.
"Pihak KN Kiara Football Club memutuskan untuk memadam hantaran yang tertulis Ffira Mikah.
"Kelab Bola Sepak KN Kiara adalah penyewa stadium mini tersebut, dan pihak kami menerima seadanya apa-apa nama baru selepas ini.
"Moga stadium mini itu nanti akan lebih bercirikan kawasan Kuala Nerang dan daerah Padang Terap," kata kelab tersebut.