Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
MOM terus perjuangkan cadangan pencen untuk atlet Olimpik

BELANJAWAN 2021 | Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminta kerajaan mempertimbang semula cadangan untuk memperkenalkan skim pencen kepada Olimpian berikutan cadangan itu tidak termasuk dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Presiden MOM Mohamad Norza Zakaria berkata beliau akan segera bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Kami faham pada masa ini kerajaan memberi perhatian kepada perkara lebih penting dalam menghadapi pandemik Covid-19. Kami akan terus bekerjasama dengan menteri dalam usaha ini serta cadangan berkaitan perlindungan insurans perubatan percuma kepada atlet kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bernama sebelum ini melaporkan MOM mencadangkan pencen khas dalam Belanjawan 2021 bagi membantu mengurangkan beban atlet kebangsaan yang banyak berkorban demi kejayaan negara di Sukan Olimpik dan mencapai kejayaan setara dengan Olimpik.

Bagaimanapun, MOM gembira dengan komitmen yang ditunjukkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen yang mengambil kira pemegang taruh dalam industri sukan.

Mohamad Norza berkata peruntukan RM55 juta untuk pembangunan sukan elit dan menggalakkan penyertaan wanita dalam sukan dapat membantu memperkukuhkan lagi usaha di peringkat akar umbi.

Katanya, RM20 juta yang dikhaskan kepada operator kemudahan sukan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) membuktikan kerajaan peka dengan kesukaran dan cabaran yang dihadapi akibat penularan Covid-19.

Menurut Mohamad Norza jumlah RM103 juta disediakan untuk menaik taraf kemudahan sukan pula, ia dapat menjamin masa depan sukan negara dengan memastikan rakyat terus mendapat akses kepada kemudahan sukan sebaik prosedur operasi standard membenarkannya.

“Agenda Nasional Malaysia Sihat dan kenaikan kadar pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM500 hingga RM3,000 untuk pembelian peralatan sukan termasuk yuran penyertaan pertandingan pasti mendorong lebih ramai rakyat Malaysia untuk terlibat dalam sukan.

“Kami mengakui keadaan agak sukar. Oleh itu, kami mengalu-alukan komitmen kerajaan terhadap industri sukan secara menyeluruh dengan peruntukan tidak hanya tertumpu kepada sukan elit sahaja tetapi juga kepada sukan peringkat akar umbi dan operator kemudahan sukan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS