Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

LIGA M | Pasukan Liga Super Felda United FC (FUFC) tidak akan menyertai saingan Liga M bermula musim depan.

Dalam kenyataan hari ini, Unit Komunikasi Korporat Felda memaklumkan keputusan penarikan diri pasukan itu dibuat setelah pengambilalihan penuh pentadbiran dan pengurusan FUFC dan anak syarikatnya The Fighters Sdn Bhd oleh Felda mulai 1 Sept lepas.

Katanya tujuan utama pengambilalihan itu adalah bagi mengawal perbelanjaan serta memastikan penyelarasan pelbagai program sukan dirancang serta dilaksanakan dengan lebih patuh kepada garis panduan pengurusan pentadbiran, prosedur perolehan, pengurusan kewangan serta penilaian risiko.

“Felda ingin memaklumkan bahawa penglibatan FUFC dalam perlawanan bola sepak adalah sehingga musim 2020 sahaja.

"Mulai tahun 2021, FUFC tidak akan lagi menyertai Liga Super dan Liga Premier,” menurut kenyataan itu.

Skuad The Fighters itu antara keseluruhan 21 pasukan Liga M termasuk pasukan Liga M3 Armed Forces FC yang berjaya melengkapkan proses penswastaan pasukan dan diberi lesen kelab kebangsaan untuk bertanding pada musim 2021.

Dalam perkembangan sama, Felda turut mengesahkan seramai 16 pegawai FUFC yang ditamatkan perkhidmatan akan dibayar pampasan mengikut syarat-syarat pelantikan yang telah dipersetujui.

Sementara itu, Akademi Bola sepak Felda yang dikendalikan FUFC sebelum ini tetap akan diteruskan bagi memperkasakan akademi tersebut sebagai platform pembetukan bakat dan modal insan dalam kalangan generasi baharu Felda.

Felda United menjuarai saingan Liga Premier pada 2010 dan 2018 serta muncul naib juara Piala FA 2014 selain berjaya mara ke separuh akhir saingan Piala Malaysia sebanyak empat kali sejak ditubuhkan pada 2007.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS