Seorang pemain bola sepak profesional di Thailand diuji positif Covid-19, sehari sebelum Liga 1 Thai kembali beraksi pada Sabtu.
Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Kementerian Kesihatan Awam Dr Opas Karnkawingpong berkata pemain tengah kelab Buriram itu tiba di Thailand pada 13 Ogos dari Uzbekistan dan menjalani kuarantin wajib 14 hari.
Katanya, pemain berusia 29 tahun itu diuji positif pada ujian pramusim sebelum perlawanan dimulakan semula esok.
“Sejumlah 1,115 orang termasuk pengadil, pemain dan mereka yang terlibat dengan Liga 1 dan 2 Thai diuji.
"Seorang pemain (Uzbekistan) diuji positif, manakala yang lain negatif,” katanya pada sidang media hari ini.
Pihak berkuasa kesihatan mengenal pasti 43 individu termasuk kakitangan dan anggota pasukan Kelab Buriram sebagai kontak rapat dan akan menjalani kuarantin 14 hari.
Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit Dr Sophon Lamsirithavorn berkata, pihak berkuasa kesihatan akan meneruskan pengesanan kontak rapat kepada pesakit tersebut.
Berikutan kes terbaru itu, tiga perlawanan Liga 1 Thai dan Liga 2 Thai akan ditunda, bergantung kepada ujian selanjutnya.
Sementara itu Ketua Pusat Kecemerlangan Klinikal Virus Universiti Chulalongkorn Dr Yong Puworawan berkata, tempoh inkubasi bagi lelaki tersebut mungkin lebih dari 14 hari.
“Tidak mungkin dia telah dijangkiti di sini. Saya percaya dia telah dijangkiti di luar negara, (sebelum) tiba (di) Thailand,” katanya.
Sehingga kini, Thailand merekodkan 3,462 kes Covid-19 dengan 58 kematian.
- Bernama