Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Hamidin belum buat keputusan pertahan jawatan presiden FAM

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin belum memutuskan untuk terus kekal menerajui tampuk kepimpinan tertinggi badan induk bola sepak negara itu untuk penggal 2021-2025.

Katanya, masih terlalu awal untuk dia membuat sebarang keputusan, namun akan mengumumkannya selepas menimbangkan beberapa perkara terutamanya tanggungjawab yang harus dipikul dalam memartabatkan arena bola sepak negara.

“Biar saya fikir dulu kerana untuk ambil jawatan itu bukan sekadar mendapatkan sokongan tetapi sudah pasti hadir dengan tanggungjawab, terutamanya ia melibatkan bola sepak, sukan nombor satu di Malaysia. Ia bukan senang,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM kali ke-56, di Petaling Jaya, hari ini.

Hamidin adalah bekas setiausaha agung badan induk itu sebelum dilantik sebagai presiden ketujuh FAM bagi baki penggal 2017-2021.

Pelantikan Hamidin menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim diisytiharkan sewaktu Kongres FAM kali ke-54 pada Julai 2018.

Sementara itu, beberapa perwakilan serta ahli gabungan FAM menyatakan sokongan kepada Hamidin untuk terus kekal sebagai presiden pada akhir kongres itu yang berlangsung mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Antara yang menyatakan sokongan ialah Persatuan Bola Sepak Selangor, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Persatuan Bola Sepak Perak, Persatuan Bola Sepak Sarawak dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan.

“Saya hargai sokongan mereka tetapi untuk terima atau tidak, saya akan maklumkan nanti,” jelas Hamidin.

Sementara itu, Kongres Tahunan kali ke-56 meluluskan cadangan Jawatankuasa Eksekutif FAM melantik pengerusi dan ahli untuk Jawatankuasa Pemilihan FAM bagi penggal 2021-2025.

Ia menyaksikan bekas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Abdullah Mohamad Said dipilih sebagai pengerusi, sementara Ab Jalil Abdullah, Salleh Ramli dan Fong Wan Hor sebagai ahli jawatankuasa berkenaan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS