Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Julian, Joshua Bechler sedia rebut peluang dalam skuad Maloney

Pemain adik-beradik berdarah kacukan Malaysia-Jerman, Julian Johan dan Joshua Johan Bechler, kini bersedia membuktikan kemampuan masing-masing dalam pasukan Bawah 18 tahun (B-18) kebangsaan sebelum aksi Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 pada Oktober.

Joshua, 17, pemain pertahanan kiri dengan pasukan Rot-Weiss Frankfurt, mencipta nama dalam kancah Hessenliga B-17, satu daripada lima cabang Bundesliga 2 B-17, mendapat gelaran ‘Bolt’ kerana memiliki kepantasan yang luar biasa.

Sementara Julian, 18, seorang penjaga gol, telah menandatangani kontrak bersama kelab gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tahun lepas dan dijangka akan diserap ke dalam skuad JDTIII.

Joshua dilapor menjadi buruan di Jerman dengan lebih 10 kelab profesional berminat mendapatkan khidmatnya, malahan beberapa skuad remaja kelab profesional di England seperti Brighton, Fulham, Leeds United dan Queen Park Rangers antara yang pernah menawarkannya peluang berlatih selain menguji kemampuan bersama skuad remaja mereka.

"Saya berharap dapat menambah nilai positif dan tinggi untuk pasukan Malaysia. Saya telah dikenali sebagai salah seorang pemain pertahanan kiri dan sayap kiri terpantas dalam Bundesliga 2, saya berharap dapat menjadi pemain yang terbaik untuk skuad kebangsaan," kata Joshua kepada Bernama, hari ini.

"Saya akan menggunakan kemampuan serta kepantasan saya untuk menjaringkan banyak gol dan juga membantu pasukan. Jika saya dipanggil untuk sertai skuad Malaysia, saya akan mempamerkan kebolehan saya dan akan membuat rakyat Malaysia berasa bangga," tambahnya.

Pada Julai tahun lepas, Bernama melaporkan perbincangan antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Joshua mengenai kemungkinan beliau menyertai skuad B-18 kebangsaan menjelang kelayakan AFC B-19 2020 dilihat sebagai positif, selepas pemain remaja itu berjaya mengemukakan dokumentasi sahih sebagai bukti memiliki pertalian darah di Malaysia.

Sementara itu, Julian berharap mereka akan dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan selepas kedua-dua mereka ketinggalan sesi latihan tahun lepas akibat kelewatan dokumen pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB).

Selepas menimba pengalaman bermain di Jerman serta menjalani beberapa sesi latihan dengan kelab-kelab di England, beliau berharap dapat menarik perhatian ketua jurulatih Brad Maloney dan bersaing untuk menempah tempat dalam pasukan itu.

"Untuk panggilan berikutnya, saya berharap dapat menarik perhatian jurulatih dan pegawai. Saya juga berharap dapat mempamerkan kualiti saya di atas padang serta menarik perhatian rakan sepasukan saya.

“Jelas sekali sebagai seorang pemain, anda perlu memikul banyak tanggungjawab, khususnya jika mewakili negara dan berharap dalam perlawanan seterusnya, saya dapat membawa pasukan ke hadapan," katanya.

Julian sebelum ini pernah menghadiri sesi pemilihan untuk skuad B-18 kebangsaan, yang sebelum ini dikendalikan bekas ketua jurulatih Bojan Hodak, tetapi tidak dapat mewakili negara disebabkan tidak mempunyai kad pengenalan Malaysia.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain adik-beradik ini berjaya mendapatkan dokumentasi yang membuktikan hubungan mereka dengan Malaysia melalui ibu mereka, Datuk Nooraini Anne Bechler, seorang warganegara Malaysia.

Kejohanan AFC B-19 2020 yang dijadualkan diadakan di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Okt adalah pusingan kelayakan untuk Piala Dunia Bawah 20 pada 2021 (di Indonesia).

Malaysia diundi dalam Kumpulan D untuk kejohanan B-19 itu bersama bekas juara Qatar, Tajikistan dan Yemen.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS