Seorang atlet e-sukan tanpa kewarganegaraan mengemukakan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan statusnya yang sehingga kini masih tidak diketahui.
Muhammad Aiman Hafizi Ahmad dilahirkan di Malaysia dan diserahkan untuk dijaga serta dibesarkan oleh ibu bapa angkatnya yang memiliki kerakyatan Malaysia.
Muhammad Aiman diserahkan kepada pasangan terbabit sejak dia berusia dua tahun apabila ibu kandungnya - seorang wanita warga Indonesia - menghilangkan diri selepas dilahirkan.
Ibu bapa angkat Muhammad Aiman membuat permohonan kewarganegaraan kedua untuk atlet terbabit pada 2017 tetapi kemas kini terakhir yang diterima pada Mac 2019 menyatakan hal tersebut dirujuk kepada Menteri Dalam Negeri.
Bagaimanapun, setakat 13 Ogos 2019 ibu bapa Muhammad Aiman tidak mendapat sebarang maklumat mengenai perkembangan terkini selain pemakluman agar terus menunggu.
Pada Ogos tahun ini Muhammad Aiman akan berusia 21 tahun dan peluangnya akan menjadi lebih rumit kerana Jabatan Pendaftaran Negara tidak membenarkan permohonan kewarganegaraan dibuat mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan jika pemohon berusia lebih 20 tahun.
Ia menyatakan bahawa kerajaan Malaysia boleh mendaftarkan mana-mana orang yang berumur kurang daripada 21 tahun sebagai warganegara dalam "keadaan khas" yang difikirkan patut.
Pernah dapat perhatian kerajaan
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan semalam oleh peguam New Sin Yew dan Chin Yuen Xin dari Tetuan AmerBON.
Menurut permohonan itu, Muhammad Aiman meminta agar pengisytiharaan status kewarganegaraannya dibuat berdasarkan undang-undang supaya dibenarkan memiliki salinan surat beranak dan kad pengenalan Malaysia.
Sebagai alternatif, Muhammad Aiman memohon mahkamah mengetepikan penolakan permohonan kewarganegaraannya, atau perintah yang memaksa Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk menerima kewarganegaraannya sesuai dengan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Permohonan semakan kehakiman itu juga berhujah kerajaan bertindak secara tidak sah menolak permohonan kewarganegaraan Muhammad Aiman karana dia memenuhi kriteria yang ditetapkan, termasuk dilahirkan di Malaysia dan tidak menjadi rakyat negara lain, atau memiliki ibu bapa Malaysia yang sah.
Kes Muhammad Aiman mula mendapat perhatian pada 30 Ogos tahun lalu setelah dilaporkan layak ke kejohanan Liga E-Sukan Asia Tenggara di China tetapi perlu mengosongkan slotnya kerana tiada kad pengenalan, justeru tidak boleh memohon mendapatkan pasport.
"Kerjaya (Muhammad Aiman) sebagai atlet e-sukan profesional terjejas teruk (oleh status kewarganegaraannya) dan Malaysia telah kehilangan salah satu bakat terbaiknya untuk mewakili Malaysia," kata pegawai semakan kehakiman.
Kemelut yang dihadapi Muhammad Aiman mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya Steven Sim setelah dibangkitkan aktivis hak kanak-kanak, Dr Hartini Zainuddin di Twitter.
Syed Saddiq berkata beliau akan "membantu apa yang boleh".
Malaysiakini difahamkan perkara itu telah mendapat perhatian Kementerian Dalam Negeri pada Sept 2019.
Malaysiakini juga sudah cuba mendapatkan maklum balas dari Menteri Dalam Negeri ketika itu, Muhyiddin Yassin dan kini Hamzah Zainudin.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyemak perkara itu.
Selain kejohanan PUBG, Muhammad Aiman dan pasukannya juga pada Dis 2019 layak bertanding dalam Kejuaraan Asia Call of Duty (COD) 2019 di Singapura.
Namun, pertandingan ini dibatalkan kerana wabak Covid-19.