Paling Popular
Terkini

Tiga puluh tahun kedukaan akhirnya berakhir buat Liverpool apabila pasukan itu disahkan juara Liga Perdana Inggeris pada Khamis, selepas tewasnya Manchester City di tangan Chelsea dengan keputusan 1-2.

Keputusan di Stamford Bridge itu bermakna Liverpool memiliki 23 mata di hadapan City dengan tujuh perlawanan berbaki.

Kali terakhir Liverpool menjadi juara adalah pada musim 1989-90 sebelum kemerosotan yang menyaksikan Manchester United dan Arsenal, kemudiannya Chelsea dan Manchester City mengambil tempatnya.

pengurus Jurgen Klopp bagaimanapun menghidupkan semula semangat Anfield dan membawa kelab itu ke kejuaraan ke-19, satu kejuaraan di belakang seteru utama Manchester United, setahun selepas menjadi naib juara kepada City dalam persaingan mendebarkan musim lalu.

Dengan perlawanan di Chelsea masuk waktu kecederaan di stadium kosong di London, kira-kira 350 kilometer dari Anfield, para penyokong mula menyalakan suar menandakan sambutan telah bermula.

Turut menyaksikannya dari jauh adalah Klopp yang tampak begitu emosional.

"Saya tiada kata-kata, ia sukar dipercayai dan lebih daripada apa yang saya fikir mungkin berlaku," katanya kepada Sky Sports selepas menerima ucapan tahniah daripada legenda kelab, Kenny Dalglish, yang menjadi pengurus pada musim 1989-90.

"Tidak sukar untuk memotivasikan pasukan ini kerana sejarah kami yang hebat. Melatih mereka adalah satu keseronokan."

Hari-hari gembira

Dalam 12 bulan mutakhir, Liverpool telah menang Liga Juara-juara, UEFA Super Cup dan Piala Kelab Dunia. Bagaimanapun mendapat semula status mereka sebagai juara England - sesuatu yang menjadi satu perkara biasa pada era 1970-an dan 1980-an - adalah perkara utama.

"Jurgen sangat hebat dan melambangkan segalanya tentang pasukan bola sepak Liverpool," kata Dalglish kepada BT Sport.

"Dan ia bukan sekadar sekali, tahun lalu mereka hanya kurang satu mata dan tahun ini mereka hanya tewas sekali.

"Melangkah ke hadapan, saya fikir akan ada banyak lagi hari-hari gembira menanti mereka."

Di sebalik wabak Covid-19 yang memaksa penggantungan tiga bulan dan penangguhan kejuaraan Liverpool, mereka mencatat rekod apabila menang liga dengan berbaki tujuh perlawanan.

Ia bermakna melangkaui rekod yang dipegang bersama oleh Manchester United (2000-01) dan Manchester City (2017-18), yang mendapat kejuaraan dengan lima perlawanan berbaki.

Pengurus City Pep Guardiola mengucapkan tahniah kepada Liverpool.

"Tahniah buat Liverpool," katanya, yang mengemudi pasukannya mendahului 25 mata di depan pasukan Klopp dua musim lalu, dan satu mata pada musim lalu.

"Selepas 30 tahun tanpa kejuaraan, mereka bermain setiap perlawanan seperti ia perlawanan terakhir dengan fokus yang begitu hebat. Kami tidak cukup konsisten," katanya lagi.

Rekod demi rekod

Jika bukan kerana penangguhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Liverpool kemungkinan memecahkan rekod dengan kejuaraan paling awal. Sebaliknya, mereka menjadi pasukan pertama untuk mengangkat piala berharga itu selewat Jun.

Liverpool menamatkan musim lalu dengan sembilan kemenangan berturut-turut. Selepas ditabal juara Eropah dengan menundukkan Tottenham Hotspur di Madrid, ia memulakan musim baru dengan begitu 'garang' untuk meninggalkan pesaingnya.

Dengan 28 kemenangan dan satu kekalahan dalam 31 perlawanan, Liverpool telah mencatatkan rekod dan mempunyai kelebihan 25 mata pada Februari - perbezaan terbesar dalam sejarah Liga Perdana.

Apabila mereka menewaskan West Ham United pada bulan itu, ia merupakan kemenangan ke-18 berturut-turut - menyamai rekod Manchester City - sebelum harapan untuk musim tanpa kalah musnah di tangan Watford dengan keputusan 3-0, keputusan yang dilihat sebagai satu kejanggalan.

Mohamed Salah mengetuai misi musim ini. Penyerng Mesir itu menjadi pemain Liverpool pertama yang menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol dalam semua kejohanan bagi tiga musim berturut-turut sejak Michael Owen.

Salah menjaringkan gol pada Rabu lalu apabila Liverpool membelasah Crystal Palace 4-0 di Anfield - keputusan yang menandakan City perlu menewaskan Chelsea bagi menangguhkan sedikit kejuaraan Liverpool.

City merupakan pasukan pertama untuk mendapat lebih 100 mata dalam Liga Perdana dua musim lalu, tetapi Liverpool dalam perjalanannya untuk memecahkan rekod itu, serta rekod bagi mata terbanyak di tempat sendiri (55) dan kemenangan terbanyak dalam satu musim (32).

-Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS