Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pasukan takraw Sukma Kelantan berlatih di gelanggang kampung

Bagi mengekalkan kecergasan pemain, pasukan sepak takraw Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan tampil dengan pendekatan tersendiri, iaitu dengan menggalakkan pemain mereka bermain di gelanggang kampung, bersama penduduk setempat.

Ketua jurulatihnya Suhairi Nordin berkata, ini ekoran latihan rasmi pasukan masih belum bermula dan pemain tidak menjalani latihan secara berpasukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, lebih tiga bulan lepas.

“Latihan rasmi pasukan belum dilakukan berikutan masih tidak dibenarkan untuk menggunakan dewan Majlis Sukan Negeri (MSN). Kami tunggu kelulusan daripada pihak yang terlibat, sebelum memanggil pemain kembali menjalani latihan bersama pasukan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata pendekatan itu juga bertujuan untuk mempersiapkan barisan pemain menghadapi siri kejohanan dengan kemuncaknya adalah temasya Sukma di Johor, tahun depan.

Jelasnya, barisan kejurulatihan akan memantau perkembangan prestasi 15 pemain pasukan itu di gelanggang kampung masing-masing.

“Kami mahu mereka mengekalkan teknik dan membiasakan diri dalam gelanggang perlawanan, namun mereka perlu mengambil langkah keselamatan ketika bermain di gelanggang kampung,” katanya.

Suhairi berkata selain inisiatif itu, beliau mahu pemainnya terus berdisiplin dengan jadual latihan secara bersendirian, berpandukan program latihan yang diberikan jurulatih ketika PKP.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS