Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Kompleks sukan, pusat snuker dibenar beroperasi mulai 15 Jun
Diterbitkan:  Jun 8, 2020 5:33 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Kerajaan setuju membenarkan pembukaan semula sektor peniagaan berkaitan sukan seperti gimnasium, dewan tertutup, kompleks sukan dan pusat snuker bermula 15 Jun ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun operator kompleks atau pusat sukan perlu mengisi borang notifikasi pembukaan terlebih dahulu melalui laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi rujukan prosedur operasi standard (SOP) dan untuk tujuan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Borang notifikasi boleh diakses bermula hari ini,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menjelas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju memberi kebenaran kepada orang awam untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan di dalam atau luar dewan bermula 15 Jun ini.

Ia melibatkan sukan individu (badminton, olahraga dan angkat berat), sukan permotoran, sukan ekstrem (payung terjun, papan luncur, paramotor) dan sukan rekreasi atau riadah meliputi senamrobik dan yoga.

Bagaimanapun orang ramai perlu mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu hingga tiga meter untuk aktiviti statik seperti angkat berat dan berlari atas ‘treadmill’ serta tiga hingga lima meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak, hoki dan ragbi.

“Bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi, bola jaring dan sukan tempur atau kombat seperti karate, taekwondo dan silat, keputusan mesyuarat masih kekal tidak boleh dimainkan secara permainan.

“Sukan-sukan ini dibenarkan untuk tujuan latihan sahaja tanpa sentuhan badan dengan penjarakan sosial semasa latihan,” katanya.

Ismail Sabri turut mengingatkan bahawa penganjuran kejohanan, acara, pertandingan sukan dan sukan air masih tidak dibenarkan buat masa ini bagi mengelak penghimpunan ramai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS