Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
KLFA gesa jadual semula kempen Liga-M kepada Julai

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) hari ini menggesa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menjadualkan semula kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2020 kepada bulan Julai berbanding 1 September yang dirancang sebelum ini.

Presiden KLFA Khalid Samad berkata ini kerana kebanyakan pasukan bola sepak kini menghadapi pelbagai masalah dari segi kewangan, mengekalkan pemain dan sebagainya.

"Kita cadangkan liga bola sepak dimulakan pada Julai bukannya September yang dilaporkan sebelum ini dengan tanpa penonton.

"Kita serius dalam krisis Covid-19 ini, tapi masih perlu melakukan apa yang penting iaitu memajukan kualiti bola sepak negara," katanya dalam sidang media di Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu melihat isu ini satu perkara penting.

"Presiden FAM (Hamidin Mohd Amin) bersetuju kalau dapat awalkan liga bola sepak. Kita mulakan latihan pada bulan Jun dan Julai kita mulakan perlawanan.

"Kesemua perlawanan mesti diadakan dengan kawalan SOP yang ketat dan penonton tidak dibenarkan sehingga September," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merancang untuk meneruskan kempen Liga-M 2020 mulai 1 September dengan semua pasukan bertanding dibenar kembali menjalani sesi latihan pada Ogos.

Perancangan itu dibuat selepas kerajaan tidak meluluskan permohonan MFL untuk menyambung semula saingan pada Ogos dan sesi latihan dijalankan pada Julai, seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Khalid juga menyatakan rasa kecewa dengan keputusan untuk hanya membenarkan Liga-M, berbanding liga-liga lain.

"Saya sebagai presiden KLFA mendapati bahawa kenyataan bahawa hanya sekadar Liga-M dimulakan dan kekangan terhadap Piala Presiden, Pertandingan B-21 dan Pertandingan B-19 agak mengecewakan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS