Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Paulo Josue mahu akhiri kerjaya bola sepak dengan KL

Selepas menghabiskan empat musim bersama-sama Kuala Lumpur, Paulo Josue mahu mengakhiri kerjayanya dengan kelab Liga Premier itu.

Pemain tengah berusia 31 tahun daripada Brazil itu menganggap Kuala Lumpur sebagai rumah keduanya berikutan beliau telah menghabiskan sebahagian besar daripada kerjaya profesionalnya dengan pasukan itu, dan menurutnya keluarganya juga dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di ibu negara Malaysia itu.

“Saya telah menikmati banyak perkara sejak menyertai Kuala Lumpur pada 2017 dan pasukan ini umpama keluarga saya sendiri. Saya amat gembira dengan apa yang saya miliki ketika ini, dan berharap dapat kekal untuk tempoh lebih lama.

"Keluarga saya juga gembira tinggal di sini, dan ini memberi motivasi kepada saya untuk memberikan yang terbaik semasa beraksi dengan pasukan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Bekas ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel ialah individu yang bertanggungjawab membawa masuk Josue pada pertengahan 2017 sebelum Kuala Lumpur menjulang gelaran Liga Premier.

Selain Josue, dua lagi pemain import -- Leandro dos Santos daripada Brazil yang bermain untuk Perak dan pemain tengah pasukan Johor Darul Ta’zim, Gonzalo Cabrera daripada Argentina antara pemain asing yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) sejak 2017.

Sementara itu, Josue berharap tanda-tanda awal bahawa situasi wabak COVID-19 semakin reda di negara ini akan membolehkan Liga-M disambung semula.

Perlawanan bola sepak Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac disebabkan pandemik COVID-19.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS