Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Tiada lagi aksi domestik di Stadium Nasional Bukit Jalil

Pertembungan Selangor dan Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini akan menjadi perlawanan terakhir Liga Malaysia musim ini di lokasi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Ab Ghani Hassan, berkata keputusan itu dibuat sebagai usaha MFL selaku badan pentadbir Liga-M untuk memelihara prestij stadium berkenaan.

Beliau berkata hanya perlawanan Liga-M 2020 aksi final Piala Malaysia dan Piala FA saja dibenarkan menggunakan stadium yang mampu memuatkan lebih 80,000 penonton itu.

"MFL ingin memberi peringatan bahawa ini merupakan kelulusan kali terakhir bagi mana-mana pasukan dalam Liga-M untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Selepas ini Stadium Nasional Bukit Jalil hanya dibenarkan untuk pengelolaan perlawanan akhir Piala Malaysia, Piala FA dan perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, MFL meluluskan permohonan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang alternatif berikutan Stadium Shah Alam berdepan isu keselamatan kerana kerosakan bumbung.

Pada masa sama, Ab Ghani mengingatkan kesemua pasukan bertanding supaya lebih bersedia menyediakan gelanggang utama pasukan pada masa akan datang.

"Saya berharap isu ini akan memberi kesedaran lebih tinggi kepada kesemua pasukan iaitu mereka perlu bergerak lebih proaktif untuk meneliti tahap keadaan stadium yang didaftarkan dari segi keselamatan, keselesaan, kemudahan, keadaan padang dan sebagainya sebelum memanggil MFL turun melakukan pemeriksaan," jelasnya.

Dalam pada itu, MFL turut meluluskan permohonan PJ City FC untuk menggunakan Stadium UiTM Shah Alam sebagai gelanggang alternatif mereka untuk perlawanan menentang Pahang dalam aksi Liga Super esok selepas Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga tidak mendapat kelulusan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS