Persatuan Bola Sepak di England, Scotland dan Ireland Utara pada Isnin memperkenalkan garis panduan baharu mengenai larangan menjalankan latihan tandukan bola untuk kanak-kanak dan remaja, lapor agensi berita Xinhua.
Persatuan Bola Sepak Wales berkata, garis panduan untuk jurulatih bola sepak kanak-kanak dalam pembelajaran menanduk bola, kini disemak semula dan hasil kajian dijangka dapat disiapkan pada akhir tahun ini.
Peraturan baharu itu dijangka berhubung garis panduan pembelajaran menanduk bagi semua peringkat kumpulan umur iaitu antara bawah enam tahun dan bawah 18 tahun.
Dalam program pembangunan bola sepak baharu, latihan asas menanduk bola untuk kanak-kanak sekolah rendah kini tidak lagi dibenarkan, manakala latihan tandukan secara berperingkat akan diperkenalkan kepada kumpulan umur bawah 12 hingga bawah 16.
Selain itu, akan ada peraturan mengenai saiz bola sepak yang berbeza untuk latihan dan perlawanan bagi setiap kumpulan umur.
Peraturan baharu juga bermakna aksi tandukan bola hanya dapat dilihat dalam perlawanan membabitkan kumpulan umur 12 tahun tetapi pada tahap ini, jurulatih perlu menerapkan corak permainan yang tidak membabitkan hantaran jauh.
Bagi mereka yang berusia 16 dan 17 tahun pula, mereka hanya dibenar menyertai satu sesi latihan tandukan saja dalam seminggu.
Peraturan baharu itu diperkenalkan berikutan satu kajian impak besar yang diumumkan pada Oktober lalu diterajui Universiti Glasgow, yang mendedahkan kesan kesihatan jangka panjang terhadap bekas pemain bola sepak profesional.
Kajian itu mendapati, bekas pemain bola sepak adalah tiga kali ganda berkemungkinan untuk meninggal dunia akibat penyakit otak.
Meskipun tiada sebarang bukti yang mengaitkan secara langsung tandukan boleh menyebabkan penyakit berkaitan kegagalan fungsi otak, garis panduan menanduk bola yang sudah dikemas kini itu diterbitkan hasil rundingan dengan badan pentadbir bola sepak Eropah (UEFA) dan Persatuan Bola Sepak England (FA).
Ia bertujuan bagi mengenai kemungkinan sebarang risiko pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif FA England, Mark Bullingham, berkata garis panduan yang dikemas kini itu akan membantu jurulatih dan guru mengurangkan latihan tandukan berulang dan tidak diperlukan dalam kerangka pembangunan bola sepak belia.
"Kajian kami menunjukkan aksi tandukan jarang dipamerkan dalam perlawanan bola sepak peringkat muda. Jadi garis panduan itu adalah satu perkembangan bertanggungjawab terhadap kanak-kanak di semua peringkat usia tanpa menjejaskan keseronokan bermain bola."
-Bernama