Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
FAM tampil dua pengadil wanita untuk Liga M 2020

Saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 yang bakal membuka tirai 28 Feb ini bakal diserikan dengan kelibat pengadil wanita buat julung-julung kalinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid, berkata seorang pengadil dan seorang penolong pengadil wanita telah dipilih untuk menggalas tugas mengendalikan Liga Super dan Liga Premier tahun ini.

"Ini adalah salah satu usaha FAM untuk mengetengahkan bakat pengadil wanita.

"Mereka telah lulus ujian kecergasan dan mempunyai bakat, FAM berasa mereka memang layak diketengahkan.

"Selain itu, FAM juga melatih 30 pengadil tambahan dan penolong pengadil baru bagi musim ini untuk menjaga kesinambungan dalam melahirkan pengadil tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pengadilan dan undang-undang bola sepak di Wisma FAM, di Petaling Jaya hari ini.

Sementara itu, Md Dali turut mengesahkan jawatankuasa tersebut mengenal pasti senarai pengadil dan pegawai perlawanan yang akan mengendalikan perlawanan pembukaan musim ini, iaitu Piala Sumbangsih di antara JDT dan Kedah.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut untuk perlawanan yang dijadual diadakan pada 28 Feb ini.

Beliau turut menegaskan pengadil tempatan akan terus diberi keutamaan mengendalikan perlawanan Liga-M, termasuk perlawanan penting serta melibatkan aksi Piala Malaysia dan Piala FA.

"Pengadil kita berkualiti dan mendapat pengiktirafan daripada AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) serta Fifa untuk mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa.

"Tetapi terpulang kepada MFL (Liga Bola Sepak Malaysia), sekiranya ada permintaan dari mereka, mungkin kita akan lihat bagaimana.

"Kami juga mengelakkan pengadil yang lahir di sesebuah negeri mengadili perlawanan melibatkan negeri yang sama sejak tahun lalu. Kita tahu pengadil memang profesional dalam tugas mereka, tetapi tidak mahu ia dijadikan isu oleh netizen" katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seminar selama sehari anjuran bersama Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) dan FAM itu dapat membantu wartawan dan pegawai media pasukan memahami undang-undang bola sepak dengan lebih mendalam.

Presiden SAM, Jasni Shafie, berkata wartawan bertauliah perlu mempunyai pengetahuan yang baik untuk menyalurkan maklumat kepada umum termasuk mempersoalkan kesilapan pengadil dalam sesebuah perlawanan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS