Isu penggantungan pendaftaran Persatuan Karate Johor sejak Oktober lepas, menjurus kepada penyelesaian setelah penyerahan kembali kuasa untuk menguruskan pentadbiran kepada persatuan itu hari ini.
Penyerahan kuasa pengurusan itu dilakukan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor Mohd Gadaffie Abd Aziz, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ad-Hoc Persatuan Karate Johor, kepada presiden persatuan itu, Chok Kong Yu.
Mohd Gadaffie berkata isu penggantungan pendaftaran persatuan itu kini sudah 90 peratus selesai dan kini menunggu kelulusan pesuruhjaya sukan berkenaan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dilakukan tahun lepas.
"Di peringkat MSN, kita sudah jalankan tanggungjawab kita… tetapi akhirnya, pesuruhjaya sukan (PJS) yang akan sahkan AGM yang telah kita lakukan.
"Sekiranya sudah diluluskan, maknanya ia (isu penggantungan pendaftaran) sudah selesai. Kalau belum, maka ia belum muktamad. Saya berharap PJS dapat menutup episod ini, jadi kita dapat menumpukan pada Sukma 2020 dan pembangunan sukan negeri," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kuasa itu di Iskandar Puteri.
Sebelum ini, Persatuan Karate Johor yang didaftarkan di bawah Pembangunan Sukan 1997 pada 31 Julai 1997 digantung pendaftarannya oleh PJS dengan alasan badan sukan itu bukan lagi entiti yang patut dan wajar untuk didaftarkan bagi mewakili sukan di negara ini selaras dengan Seksyen 25 Akta Pembangunan Sukan 1957.
Penggantungan berkenaan berdasarkan beberapa faktor termasuk terdapat ahli gabungan di bawah Persatuan Karate Negeri Johor tidak membayar yuran semasa AGM tahunan sesi pemilihan tetapi tetap mengundi.
Selain itu, ada antara ahli gabungan tidak mendaftar secara sah di bawah PJS dan keengganan itu menjadikan maklumat yang kena diberi (MYKB) tidak sah kerana melanggar perlembagaan persatuan.
- Bernama