Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Juve turun padang dengan kaligrafi Arab di belakang

Menjelang pertembungan dengan Lazio bagi merebut Piala Super Itali awal pagi Isnin ini, kelab Juventus melancarkan kit jersi khas edisi terhad yang hanya dikeluarkan sebanyak 500 unit saja.

Paling menarik - dan menonjol - pada jersi istimewa itu ialah ia memaparkan nama pemain dalam tulisan Arab, sesuai dengan lokasi perlawanan itu bakal berlangsung iaitu di Stadium Ar-Riyad, Arab Saudi.

Tulisan itu direka dengan kerjasama artis kaligrafi terkemuka berbangsa Saudi-Maghribi, Shaker Kashgari, manakala rekaan jersi masih berpandukan kepada corak yang asal.

Dalam pertembungan itu, Juventus - yang merupakan juara Serie A - akan berhadapan Lazio yang merupakan Juara Coppa Italia musim lalu.

Ia merupakan pertemuan kelima Juventus dan Lazio dalam Piala Super Itali. Dalam empat pertembungan di antara kedua-dua pasukan sebelum ini, masing-masing memenangi dua perlawanan.

Justeru pemerhati berpendapat Lazio dan Juventus akan bermain bermati-matian untuk meletakkan kelab itu berada di atas pencabar masing-masing.

Mengenai jersi edisi khas itu, ia boleh didapatkan melalui pesanan di laman sesawang rasmi Juventus. Namun harganya memang lumayan.

Dibungkus dalam kotak khas, satu set jersi tersebut dijual pada harga €250 (RM1,150) setiap satu.

Ketua Pegawai Hasil Juventus, Giorgia Ricci menyifatkan kolaborasi kelab digelar la Vecchia Signora (Perempuan Tua) dengan Shaker itu menjadikan perlawanan akhir Piala Super Itali kali ini lebih istimewa.

Selain itu, katanya, rekaan jersi khas itu turut membuktikan bahawa Juventus dekat dengan peminatnya dari seluruh dunia.

“Melalui pilihan ini, kami mahu memberikan penghargaan kepada bentuk seni tradisional,” katanya seperti dipetik Footyheadlines.

Bagi Shaker pula, budaya Arab mempunyai persamaan dengan budaya bola sepak iaitu kemegahan dan keghairahan, dan rekaan jersi tersebut menggabungkan kedua-dua unsur tersebut.

“Kaligrafi ialah tradisi tertua, sementara bola sepak semakin memainkan peranan penting dalam masyarakat. Kemudian datang rekaan ini yang menggabungkan kedua-dua aspek tersebut,” katanya.

Meski pun tidak mendapat status glamor seperti kelab Liga Perdana Inggeris, Juventus mempunyai ramai pemain terkenal dan disegani.

Antaranya ialah pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldi; dua bekas bintang Arsenal, Aaron Ramsey dan Wojciech Szczęsny, bekas pemain Liverpool, Emre Can; bekas pemain Real Madrid dan pemain kebangsaan Jerman, Sami Khedira; serta penjaga gol veteran Itali, Gianluigi Buffon.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS