Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Hargai juga atlet berjaya di Sukan SEA, kata Sim

Di sebalik kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 70 pingat emas, masih ada atlet yang boleh dibanggakan pada temasya Sukan SEA Ke-30 di Filipina.

Malah kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, kejayaan mereka menyumbang koleksi pingat tanpa mengira warna, serta prestasi ‘mengejut’ yang ditampilkan wajar mendapat pengiktirafan dan dirai.

Katanya prestasi yang dipamerkan Raja Pecut Asia Tenggara yang baru Muhammad Haiqal Hanafi; jaguh lompat tinggi wanita, Yap Sean Yee; pemain perseorangan wanita S Kisona dan Dr Yew Weng Keng (e-sukan) antara yang mencipta sejarah tersendiri di pentas Sukan SEA.

Menurut Sim, kejayaan yang diperolehi atlet luar jangka adalah hasil daripada usaha gigih, komitmen dan dedikasi mereka terhadap sukan yang diwakili.

“Semua mereka ini telah menonjolkan prestasi yang tidak disangkakan. Jadi, saya rasa dalam kita muhasabah diri, analisis kekurangan diri, kita jangan lupa untuk meraikan pencapaian atlet kita yang telah bersungguh-sungguh mencipta kejayaan buat kontinjen negara.

“Kita perlu juga lihat kejayaan atlet yang memenangi bukan sahaja pingat emas tapi juga pingat lain. Ini adalah kejayaan hasil daripada usaha dan dedikasi mereka sekian lama,” katanya.

Dalam pada itu, Sim tidak menafikan pentas temasya dwitahunan itu adalah sebahagian daripada medan untuk menguji prestasi atlet muda yang pertama kali membuat penampilan di gelanggang kompetitif.

Menurut beliau, hampir 50 peratus atlet yang bertanding pada edisi ke-30 ini adalah mereka yang membuat penampilan pertama dan sebahagian daripadanya adalah atlet berusia bawah 21 tahun.

“Kontinjen kita lebih 50 peratus adalah kali pertama. Ini merupakan kali pertama pendedahan dan peluang kepada atlet muda, bukan sahaja peluang kita mencungkil bakat baru tapi juga peluang kepada mereka untuk mengukur diri dengan pesaing di rantau ini, selain menjadi satu temasya pendedahan untuk program pembangunan kita,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS