Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei membuktikan bahawa keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk memilihnya beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia atas tiket ‘wildcard’ adalah tepat.
Ia kerana beliau berjaya mencipta sejarah menjadi atlet pertama Malaysia untuk mara ke pusingan akhir dalam kejohanan berprestij itu, sejak diperkenalkan pada 1938 oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).
Bekas pemegang rekod kebangsaan itu, melakukan lompatan setinggi 2.29 meter pada aksi Kumpulan B, pusingan kelayakan di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha pada malam tadi, yang juga merupakan catatan terbaik peribadinya untuk layak ke pusingan akhir.
Perkembangan terbaharu ini menyaksikan juara Kejohanan Asia 2007 itu, mampu kembali menjadi pemegang rekod kebangsaan dalam acara itu, apabila hanya ketinggalan 0.01m di belakang rekod kebangsaan milik rakan sepasukannya, Nauraj Singh Randhawa (2.30m).
Atlet berusia 32 berasal dari Kajang itu, akan beraksi dalam pusingan akhir pada awal pagi Sabtu ini.
Malaysia hanya boleh menghantar seorang atlet secara ‘wild card’ ke kejohanan itu, selepas tiada seorang pun atlet negara berjaya melepasi syarat kelayakan secara merit.
-Bernama