Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Aidil Zafuan kembali dipanggil sukad kebangsaan

Tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan sebagai persiapan berdepan Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan depan.

Mohamad Aidil, 32, yang meraih enam gelaran Liga Super berturut-turut bersama JDT sejak 2014 antara watak penting membantu skuad Harimau Malaya muncul Naib Juara Piala AFF 2018 sebelum diketepikan ketua jurulatih negara Tan Cheng Hoe dalam saingan Piala Airmarine 2019, Mac lepas.

Beliau yang menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali bersama Negeri Sembilan pada 2009 dan 2011 sekali lagi tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan pada dua aksi pertama pusingan kelayakan berdepan Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal bulan ini.

Penyenaraian semula Aidil bukanlah satu keputusan mengejut dilakukan Cheng Hoe memandangkan pengalaman luas dimilikinya mampu menyelesaikan masalah di barisan pertahanan tengah negara yang dilihat kurang memuaskan dalam dua aksi pertama pusingan kelayakan itu.

Gandingan Shahrul Mohd Saad dan Adam Nor Azlin yang menjadi taruhan Cheng Hoe sebelum ini kelihatan gagal menampilkan persembahan terbaik yang menyaksikan skuad negara bolos keseluruhan empat gol termasuk dua gol mudah ketika tewas kepada UAE.

Pada masa sama, turut disenaraikan Cheng Hoe dalam senarai 25 pemain menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Isnin depan dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini adalah pemain tengah Selangor berusia 24 tahun, Abdul Halim Saari.

Sementara pemain sayap Felda United, Muhammad Hadin Azman yang gagal menampilkan prestasi memuaskan dalam dua aksi pertama pusingan kelayakan berdepan Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal bulan ini pemain tunggal digugurkan Cheng Hoe.

Sebelum aksi menentang Vietnam yang menghuni ranking ke-99 dunia di Stadium Nasional My Dinh 10 Okt ini, skuad kebangsaan akan melayan kunjungan pasukan di ranking ke-202 dunia Sri Lanka dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini pada 5 Okt.

Malaysia yang berjaya naik satu anak tangga di kedudukan ke-158 dunia akan berdepan pasukan ke-143 Hong Kong dalam satu lagi aksi antarabangsa Tier 1 di Stadium Hong Kong pada 15 Okt.

Sebagai rekod, Malaysia yang memburu slot beraksi pada Piala Asia 2023 kini mengumpul tiga mata di kedudukan ketiga Kumpulan G di belakang Thailand (empat mata) dan UAE (tiga mata) selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Jakarta sebelum tewas 1-2 kepada UAE di Kuala Lumpur.

Berikut senarai 25 pemain dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Isnin depan:

  • Mohd Farizal Marlias - Penjaga gol (JDT)
  • Adam Nor Azlin - Pertahanan (JDT)
  • Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak - Pertahanan (JDT)
  • La'vere Corbin-Ong - Pertahanan (JDT)
  • Mohamed Syamer Kutty Abba - Tengah (JDT)
  • Muhammad Safawi Rasid - Sayap (JDT)
  • Muhammad Akhyar Abdul Rashid - Sayap (JDT)
  • Muhammad Syafiq Ahmad - Penyerang (JDT)
  • Shahrul Mohd Saad - Pertahanan (Perak)
  • Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi - Penyerang (Perak)
  • Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy - Penjaga gol (Perak)
  • Nazirul Naim Che Hashim - Pertahanan (Perak)
  • Brendan Gan - Tengah (Perak)
  • J Partiban - Sayap (Perak)
  • Matthew Davies - Pertahanan (Pahang)
  • Mohamadou Sumareh - Sayap (Pahang)
  • Muhamad Nor Azam Abdul Azih - Tengah (Pahang)
  • Norshahrul Idlan Talaha - Penyerang (Pahang)
  • Muhammad Syahmi Safari - Pertahanan (Selangor)
  • Abdul Halim Saari - Sayap (Selangor)
  • Muhammad Akram Mahinan - Tengah (PKNS)
  • Muhammad Danial Amier Norhisham - Penyerang (Felda United)
  • Mohd Ifwat Akmal Che Kassim - Penjaga gol (Kedah)
  • Muhammad Irfan Zakaria - Pertahanan (Kuala Lumpur)
  • Dominic Tan Jun Jin - Pertahanan (Police Tero FC)

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS