Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Penghargaan Dr M, Siti Hasmah buat Chong Wei
Diterbitkan:  Jun 14, 2019 4:49 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Lee Chong Wei terus-menerus dihujani penghargaan daripada seluruh rakyat Malaysia susulan pengumuman persaraannya dalam sukan badminton, semalam.

Hari ini, lebih istimewa lagi, beliau menerima ucapan terima kasih daripada Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Dr siti Hasmah Mohamad Ali, menerusi video khas yang dimuat naik di laman Facebook rasmi perdana menteri.

“Saya berasa terharu dan sedih kerana juara kita Lee Chong Wei sudah bersara. Saya harap dia dapat rehat dan dia juga dapat sembuh daripada penyakit yang dihadapi olehnya.

“Saya ucap berbanyak terima kasih kepada Chong Wei kerana telah meletakkan Malaysia dalam sukan dunia sebagai juara berkali-kali.

“Kami akan berasa kehilangan juara kita kerana Chong Wei terpaksa bersara,” kata Mahathir.

Dalam sidang media semalam, Chong Wei, 37, tidak dapat menahan sebak ketika mengumumkan akan mnggantung raket selepas 19 tahun berkecimpung dalam dunia badminton.

Antara sebab utama yang dinyatakannya ialah rawatan kanser yang diterimanya tidak membolehkannya untuk meneruskan latihan dengan intensiti yang tinggi.

Tidak lama selepas itu, dia berkongsi kesedihannya di Facebook tentang keputusan itu, termasuklah impian menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama negara yang tidak kesampaian.

Bagaimanapun, katanya, tiada rasa sesal kerana telah memberikan yang terbaik dan sudah tiba masa untuknya memberi tumpuan kepada keluarga.

Siti Hasmah pula menyifatkan Chong Wei membuat keputusan yang tepat memandangkan kesihatan diri adalah perkara yang amat penting.

“Tak apa Chong Wei. Anda tak ada peluang memenangi pingat emas Olimpik, tak apa...Anda buat keputusan tepat.

"Keluarga ada untuk anda - isteri dan dua anak anda. Nikmati (masa bersama) mereka.

"Seperti yang anda katakan, anda ada ajar mereka main badminton. InsyaAllah anda akan dapat lihat mereka menang pingat emas untuk anda apabila mereka berpeluang nanti," katanya.

Siti Hasmah turut mendoakan kesihatan dan kebahagian Chong Wei dan keluarganya.

"Seperti yang andak katakan - tiada sesalan. Anda sudah buat yang terbaik untuk diri, keluarga, negara, dan untuk kita semua," katanya lagi.

Sepanjang kariernya, Lee Chong Wei berjaya menghimpun tiga pingat perak Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015).

Beliau juga merupakan pemenang terbanyak gelaran Super Series iaitu sebanyak 46 kali.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS