Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Chong Wei sebak umum gantung raket selepas 19 tahun
Diterbitkan:  Jun 13, 2019 1:55 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Jaguh badminton negara, Lee Chong Wei hari ini mengumumkan hasratnya untuk menggantung raket selepas berkecimpung selama 19 tahun dalam sukan itu.

“Hari ini, semua orang tahu saya mahu mengumumkan persaraan saya selepas 19 tahun dalam BAM. Memang berat untuk saya buat keputusan ini, kerana saya amat menyintai sukan ini. Tapi buat masa sekarang apa yang penting untuk saya sekarang adalah kesihatan saya.

"Saya ada ke Taiwan pada April lalu dan doktor yang merawat saya merasakan tidak sesuai lagi untuk saya meneruskan latihan dengan intensiti tinggi.

"Jadi selepas pulang saya mengambil masa selama sebulan untuk memikirkan mengenainya...

"Saya akhirnya membuat keputusan untuk menggantung raket selepas sambutan Aidilfitri tempoh hari, ia adalah keputusan berat untuk saya tetapi apa yang paling penting adalah isu kesihatan saya," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Chong Wei, 37, ditemani Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM Mohamad Norza Zakaria dan juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menyampaikan pengumuman berkenaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, dan jurulatihnya atas sokongan mereka.

Malah, Syed Saddiq juga dilihat beberapa kali menyeka Chong Wei yang kelihatan tidak dapat menahan sebak selepas menamatkan karier profesionalnya selama 19 tahun dalam sukan badminton.

Selain daripada menghimpun koleksi tiga pingat perak Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali muncul sebagai naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015), Chong Wei juga muncul sebagai satu-satunya pemenang terbanyak gelaran Super Series sebanyak 46 kali.

Terdahulu khabar angin mula bertiup kencang yang mengatakan pemain berusia 37 tahun itu akan mengumumkan persaraan.

Spekulasi semakin hangat apabila Chong Wei dikatakan sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada hujung April lalu bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS