Liverpool menamatkan musim 2018/2019 dengan menambah koleksi piala bagi Liga Juara-Juara Eropah.
Skuad kendalian Jurgen Klopp itu menewaskan Tottenham Hotspur melalui jaringan Mohamed Salah dan Divock Origi.
Salah meletakkan Liverpool di depan melalui sepakan penalti seawal minit ke-2 - antara jaringan terpantas dalam kejohanan itu - manakala Origi pada minit ke-87, hampir sama sekali meranapkan impian Spurs.
Namun sebelum itu Spurs dilihat hampir-hampir menyamakan kedudukan, terutama selepas kemasukan pemain tengah Lucas Moura bagi menggantikan Harry Winks.
Bagaimanapun gawang Liverpool kekal kebal dan Allison Becker sekali lagi membuktikan mengapa harga yang dibayar kelab itu untuk mendapatkannya tahun lalu adalah berbaloi.
Penjaga gol kebangsaan Brazil itu berjaya menahan dua percubaan berturut-turut daripada Son Heung Min dan Lucas Moura pada minit ke-80, dan Christian Eriksen pada minit ke-85.
Perlawanan dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan bermain agak perlahan, sekurang-kurangnya jika dibandingkan dengan apa yang dipamerkan mereka dalam perlawan sebelum ini.
Laluan The Reds ke pentas final penuh liku, dengan layak ke pusingan kalah mati dengan kelebihan gol terhadap Napoli.
Di pusingan separuh akhir, mereka ketinggalan tiga gol dalam pusingan pertama dengan gergasi Sepanyol, FC Barcelona sebelum bangkit 4-0 di Anfield.
Tidak kurang juga dengan Spurs, yang mengatasi Manchester City di pusingan suku akhir, dengan jaringan minit akhir pemain sayap City, Raheem Sterling dibatalkan pengadil.
Di peringkat seterusnya, kelab itu menewaskan juara Belanda, Ajax Amsterdam dengan kelebihan gol di tempat lawan apabila Lucas Moura melengkapkan hatriknya pada minit ke-96.
Kemenangan awal pagi tadi pastinya mengubat kekecewaan tewas di tangan Real Madrid pada tahun lalu, dan juga kegagalan menjadi juara liga selepas kurang hanya satu mata berbanding City.
Ia merupakan kejuaraan kali keenam buat The Reds, menjadikannya pasukan ketiga paling banyak memenangi kejohanan kelab paling berprestij itu, selepas Real Madrid (13) dan AC Milan (7).