Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Gol saat akhir Felda United hampakan The Red Giant
Diterbitkan:  Apr 17, 2019 10:04 AM
Dikemaskini: Apr 23, 2019 11:58 AM

Jaringan kapten pasukan, Muhammad Hadin Azman di penghujung permainan memastikan Felda United mengatasi Selangor 2-1 pada pusingan ketiga untuk menempah slot ke suku akhir Piala FA 2019 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Lebih memukau, Muhammad Hadin yang merupakan bekas pemain kebangsaan meledak gol kemenangan skuad ‘The Fighters’ selepas melakukan gerakan pantas bermula dari tengah padang dan bijak melepasi empat pemain Selangor sebelum melepaskan rembatan leret pada minit ke-88.

Terdahulu, Selangor selaku juara terbanyak Piala FA dengan rekod lima kejuaraan, membuka jaringan menerusi pemain muda meningkat naik, Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-55, namun Felda United pantas menyamakan kedudukan menerusi tandukan Thiago Junio, sembilan minit kemudian.

Kekalahan anak buah ketua jurulatih B Sathianathan itu menyaksikan kemarau 10 tahun kejuaraan Piala FA skuad ‘Gergasi Merah’ selepas kali terakhir menikmati gelaran itu pada edisi 2009.

Pada masa sama, juara edisi 2015, Kedah turut mara ke suku akhir selepas menewaskan PJ City FC 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Kedah bermula garang apabila mendahului 1-0 seawal minit kedua menerusi pemain import dari Brazil, Renan sa Silva Alves sebelum kapten kebangsaan, Muhammad Zaquan Adha Abd Radzak meledak gol kedua pada minit ke-54, sekali gus mengesahkan kejayaan skuad Lang Merah.

Turut mengiringi Felda United dan Kedah adalah Terengganu FC dan Kuala Lumpur selepas menundukkan lawan masing-masing.

Terengganu FC bangkit daripada ketinggalan sebelum membenam Kelantan United 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru, hasil jaringan Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-50, Tchetchet Kipre (minit ke-53) dan Lee Tuck (minit ke-72), sementara gol Kelantan United dijaringkan Muhammad Rozaimi Azwar Mat Noor pada minit kesembilan.

Di Stadium Bandaraya pula menyaksikan Pulau Pinang gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila tewas 2-4 kepada Kuala Lumpur.

Skuad ‘The City Boys’ meledak tiga gol pada babak pertama perlawanan menerusi Zaiful Abdul Hakim pada minit ketiga, Muhammad Irfan Zakaria (minit ke-14) dan Guilherme De Paula pada minit ke-35.

Di separuh masa kedua menyaksikan pasukan tuan rumah cuba melawan dengan dua gol dijaringkan Ndumba Makeche pada minit ke-48 dan Sivanesan Shanmugam pada minit ke-79, namun gagal menyekat kemaraan Kuala Lumpur yang mendahului 4-2 selepas De Paula menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS