Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Jawatankuasa sementara jalankan tugas AAM bakal ditubuhkan

Sebuah jawatankuasa sementara akan ditubuhkan secepat mungkin untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab Persatuan Automobil Malaysia (AAM), yang telah dibatalkan pendaftarannya.

Pesuruhjaya Sukan, Zaiton Othman berkata jawatankuasa sementara itu akan bertanggungjawab untuk menguruskan hal-hal berkaitan sukan permotoran sehingga satu keputusan dicapai oleh ahli gabungan AAM pada mesyuarat agung tahunan (AGM) dalam masa terdekat.

Zaiton akan berjumpa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Langkawi esok untuk menerangkan mengenai cadangan ahli-ahli gabungan untuk menubuhkan jawatankuasa sementara itu.

“Jawatankuasa ini akan pegang fungsi AAM untuk sementara waktu, sehingga proses permohonan untuk menubuhkan satu badan baharu akan dibuat kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) pada AGM nanti.

“Kita akan mempercepatkan semua prosesnya supaya sukan permotoran Malaysia tidak terjejas dan kita mahu ambil pandangan dari semua ahli gabungan. Mereka yang akan meletakkan hala tuju dan saya rasa perkara ini akan dilaksanakan secepat mungkin kerana ada banyak perlumbaan pada minggu-minggu akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Piala Dunia dan Kejohanan Empat Benua Kumpulan Gimnastik Estetik di Singapura bermula dari 1 hingga 4 April, di Wisma UFL, di sini hari ini.

Dua hari lepas, Zaiton menerusi kenyataan berkata AAM tidak boleh menganjurkan, menjalankan, membenarkan atau menyertai apa-apa aktiviti yang sedang berlangsung bagi mana-mana sukan sama ada di dalam atau luar negara selepas pendaftarannya dibatalkan pada 30 Nov lalu akibat tidak mematuhi Akta Pembangunan Sukan 1997.

Beliau menjelaskan bahawa rayuan AAM kepada Menteri Belia dan Sukan selaras dengan Seksyen 21, turut ditolak.

Ditanya mengapa Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) tidak terus dilantik sebagai pengganti AAM, Zaiton tidak mahu mengulas mengenai perkara itu.

“MAM merupakan ahli gabungan yang termuda, sekiranya semua ahli gabungan bersetuju untuk melantik MAM sebagai badan yang uruskannya, saya tiada masalah. Tetapi saya kena mengikut pandangan semua ahli gabungan

“Saya (rasa) lebih senang kerana tak perlu tubuhkan badan baharu, tapi kemungkinan cara ini tidak bersesuaian dengan prosedur antarabangsa yang kita perlukan. Tadi saya ada bermesyuarat dengan mereka (ahli gabungan)... nak melihat satu persetujuan,” katanya.


-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS