Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan membuat makluman rasmi kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) berhubung pendirian kerajaan tidak membenarkan atlet para-renang dari Israel menyertai kejuaraan yang bakal diadakan di Kuching, Sarawak.
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata jemaah menteri pada mesyuarat yang lalu telah membincangkan isu terbabit dan memutuskan untuk mempertahankan pendirian Malaysia menghalang kemasukan kontinjen dari Israel.
"Surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan Sarawak akan dihantar oleh Kementerian Dalam Negeri.
"Selepas itu MPM akan maklumkan pada IPC tentang pendirian kerajaan yang sedia ada," kata Syed Saddiq dalam satu sesi sidang media selepas menghadiri acara sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Sedunia anjuran MPM hari ini.
Atlet renang paralimpik dari lebih 70 negara dijangka menyertai pusingan kelayakan Tokyo Paralimpik 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos akan datang.
Khamis lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan kerajaan menolak permohonan visa pasukan Israel yang ingin menyertai kejuaraan World Para Swimming 2019 tersebut.
"Kalau mereka (pasukan Israel) tetap datang, ia merupakan satu pelanggaran (undang-undang).
"Kalau mereka (IPC) mahu mencabut hak Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara tersebut, mereka boleh berbuat demikian," kata Mahathir seperti dipetik oleh Bernama.
Agensi berita AFP hari ini turut melaporkan kekecewaan IPC susulan kenyataan Mahathir, walaupun badan sukan antarabangsa itu akan berusaha untuk mencari "jalan keluar" bagi isu tersebut.
Kumpul dana bantu atlet para negara
Sementara itu, Syed Saddiq turut menegaskan komitmen kerajaan menerusi MPM bagi membantu pembangunan atlet-atlet paralimpik negara menjelang kejohanan Tokyo Paralimpik 2020.
"Kita akan cuba sebaik mungkin untuk membantu pihak MPM mencapai sasaran RM5 juta dalam masa tiga tahun," katanya.
Presiden MPM SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata kutipan dana menerusi platform e-dompet di aplikasi 'Boost' atau laman rasmi MPM akan turut digunakan untuk menampung kos bidaan penganjuran pelbagai temasya sukan Antarabangsa.
Inisiatif kutipan dana 'Tambah Emas' telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pagi ini bersempena sambutan Hari OKU sedunia.
Dalam kesempatan itu, Wan Azizah yang ditemani Syed Saddiq dan pemegang rekod dunia acara 100m T36 (gangguan pembelajaran) Ridzuan Puzi telah dibawa melawat sekitar Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kuala Lumpur - pusat latihan utama kontinjen para nasional negara.