Sekurang-kurangnya 10 kelab penyokong bola sepak The Bos Gaurus meminta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu campur tangan berhubung gesaan supaya Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim meletak jawatan.
Wakil kelab penyokong The Yellow Mobs, Mohd Jeffrey Amin Abd Hamid berkata satu memorandum khas yang mengandungi 3,000 tandatangan peminat setia telah dihantar kepada wakil menteri besar hari ini bagi menzahirkan kekecewaan mereka terhadap Hasnul.
“Sebelum ini, jika berlaku apa-apa masalah Presiden PAFA atau Timbalan Presiden PAFA akan meletakkan jawatan, tidak perlu sesiapa mendesak.
“Sekarang desak pun tidak mahu letak jawatan, ia bergantung kepada etika kerana beliau sendiri membuat silap sekali gus menimbulkan kemarahan penyokong,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.
Pada 5 Nov lalu, seramai 200 penyokong bola sepak Perak mengadakan protes aman di perkarangan Stadium Perak, bagi mendesak Hasnul Zulkarnain meletakkan jawatan selaku presiden kerana dianggap telah mencemarkan imej dan keunggulan Piala Malaysia.
Katanya meskipun memorandum telah diserahkan ke pejabat menteri besar namun petisyen tandatangan secara dalam talian yang digerakkan sejak 4 Nov lalu tetap diteruskan sehingga desakan mereka berjaya.
Manakala, wakil Kelab Penyokong Bola Sepak Batu Gajah, Mohd Shirin Adnan berkata desakan yang dibuat oleh para penyokong itu bukan bersifat prejudis, tetapi lebih terarah kepada usaha untuk memartabatkan bola sepak Perak.
"Selepas 18 tahun, kita kembali menang piala. Jadi, kita tidak mahu tunggu 18 tahun lagi untuk kembali dakap piala. Untuk itu, satu pentadbiran atau pengurusan PAFA yang lebih dinamik perlu disusun," katanya.
Katanya jika Hasnul Zulkarnain enggan meletakkan jawatan, beliau perlu memastikan prestasi pasukan terus cemerlang pada kempen liga musim depan.
Sementara itu, Hasnul Zulkarnain yang juga Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri ketika ditemui pemberita berkata para penyokong berhak menyuarakan desakan namun beliau bertegas untuk terus mengemudi PAFA pada musim depan.
Katanya, beliau juga sudah memohon maaf secara terbuka berhubung kontroversi yang dilakukan selain menganggap ia sebagai proses untuk mematangkan dirinya selaku presiden.
“Selepas mesyuarat exco sebentar lagi, saya akan berbincang dengan menteri besar dan perkara ini akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.
- Bernama