Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Nik Nazmi pula tawar diri ketuai KLFA
Diterbitkan:  Nov 1, 2018 11:53 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Lebih profesional dan berintegriti - itu matlamat Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad apabila dia menawarkan diri menjadi calon presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Kata Nik Nazmi skuad bola sepak Kuala Lumpur pernah mencatat nama yang gah pada suatu ketika dulu.

Misalnya kata Nik Nazmi apabila pasukan tersebut menjadi juara Liga Malaysia pada 1986 dan 1988.

"Kejayaan paling dikenang pastinya apabila pasukan itu menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga musim berturut-turut iaitu pada 1986, 1987 dan 1988," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Nazmi Kuala Lumpur juga menjadi juara Piala FA pada 1993, 1994 dan 1999.

Katanya kejayaan itu mampu dilakar kesan keberkesanan program pembangunan pemain pelapis yang dikembangkan dalam kalangan anak jati Kuala Lumpur.

"Maka, pembangunan pemain pelapis seharusnya merangkumi projek pembangunan akar umbi yang holistik - sains sukan, pendedahan kepada jurulatih muda serta para pegawai teknikal.

"Selain itu bakat yang ada di liga-liga KLFA dan kelab-kelab komuniti di Kuala Lumpur mesti digilap.

"Kita juga tidak boleh mengetepikan profesionalisme dengan penswastaan pasukan menerusi pelesenan kelab yang dituntut oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)," katanya.

Bantu hala tuju FAM

Menurut Nik Nazmi pasukan bola sepak profesional Kuala Lumpur wajib mampu berdikari dengan dana sendiri dan digerakkan secara berasingan daripada pentadbiran KLFA.

"Ini penting kerana kedua-duanya mempunyai dua fungsi yang berbeza.

"Satu sebagai pesaing dalam liga komersial, sementara satu lagi merupakan badan yang mengawal selia bola sepak di dalam kawasan Kuala Lumpur," katanya.

Pengumuman Nik Nazmi itu menjadikan setakat ini ada dua nama bersaing untuk mengisi jawatan presiden KLFA.

Mohd Rashid Hasnon

Pada 29 Okt lalu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon terlebih dulu menawarkan diri menjadi presiden KLFA untuk penggal 2018 - 2022. 

Pemilihan untuk jawatan berkenaan dijadual diadakan pada 18 Nov ini.

Kata Nik Nazmi hubungan di antara skuad Kuala Lumpur dan penyokong juga akan diperkukuhkan kerana mereka menjadi nadi kepada pasukan terbabit.

Turut menjadi tumpuan Nik Nazmi ialah penghasilan dan pemasaran barangan dagangan (merchandise) secara serius.

"Saya mengambil keputusan ini memandangkan minat yang mendalam terhadap bola sepak dan keinginan memenuhi potensi KLFA menjadi persatuuan yang lebih profesional dan berintegriti.

"Saya yakin dapat memainkan peranan untuk menjadikan KLFA penyumbang kepada kejayaan Peta Hala Tuju FAM 2019-2030 yang baru dilancarkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS