Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon hari ini menawarkan diri untuk bertanding mengisi jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi musim penggal 2018 - 2022.
Bercakap dalam sesi sidang media di parlimen hari ini, anggota parlimen Batu Pahat itu berkata minat yang mendalam kepada bola sepak telah mendorong beliau menawarkan diri bagi menyandang jawatan tersebut.
"KLFA atau lebih dikenali sebagai The Hawks ini sinonim dengan presidennya yang terdahulu iaitu Allahyarham Tan Sri Eliyas Omar yang telah membawa pasukan ini sebagai pasukan digeruni di Lembah Klang.
"Kini sudah tiba masanya untuk pasukan KLFA kembali sebagai pasukan yang digeruni, dan oleh yang demikian saya dengan ini ingin menawarkan diri sebagai presiden KLFA pada musim 2018 - 2022," katanya.
Mengulas tentang pengalamannya dalam pengurusan bola sepak, Mohd Rashid berkata beliau pernah diminta membantu skuad Melayu Pulau Pinang dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja musim 2017.
"Selepas 15 tahun tak menang, saya bawa mereka hingga menjadi juara tahun lepas menewaskan pasukan Kelantan," kata Mohd Rashid, yang pada ketika itu menjawat sebagai timbalan ketua menteri Pulau Pinang.
Kini menetap di Kuala Lumpur, Mohd Rashid berkata beliau ingin terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak tanah air.
"Antaranya saya ingin mengumpulkan semula pemain-pemain lama untuk bantu pembangunan bola sepak, selain dari mengenai pasti pemain pelapis muda," jelasnya.
Bukan sahaja berpengalaman membantu pengurusan pasukan bola sepak, Mohd Rashid turut mengakui pernah menjalani pemilihan bersama pasukan Selangor semasa menuntut di Maktab Tentera Diraja.
Tambah Mohd Rashid, hari ini merupakan hari pertama pencalonan dibuka bagi jawatan presiden KLFA, dan tempoh pencalonan adalah selama dua minggu.
Perwakilan akan membuat undian pada 18 November ini.